AMALAN tadarus al-Quran  boleh menjadi medan menyerlahkan keutuhan hubungan sesama Muslim.
AMALAN tadarus al-Quran boleh menjadi medan menyerlahkan keutuhan hubungan sesama Muslim.
Mohd Shahrizal Nasir

Islam merupakan agama yang mementingkan hubungan silaturahim sesama Muslim. Tiada manusia di dunia ini boleh hidup bersendirian tanpa peranan orang lain. Justeru, setiap Muslim perlu mengelakkan diri daripada terlibat dalam konflik dari segi kehidupan bermasyarakat.

Allah SWT mengingatkan kita tentang perlunya menyedari seorang Muslim dengan Muslim yang lain bersaudara. Maka jika berlaku konflik atau permusuhan, perlunya ada pihak berperanan mendamaikan keduanya. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Orang Mukmin bagi orang Mukmin yang lain itu laksana satu binaan, yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalil-dalil naqli tersebut memberi petunjuk jelas umat Islam diharamkan untuk bermusuhan sesama sendiri. Apa juga isu berlaku dalam kehidupan, maka jalan penyelesaiannya perlu diambil dengan bijak agar hubungan sesama Muslim kekal utuh.

Ramadan merupakan bulan dimuliakan dalam Islam. Umat Islam tanpa mengira bangsa, keturunan dan warna kulit berusaha melipatgandakan usaha untuk melaksanakan amal ibadah bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jika diperhatikan perkara yang menjadi ketetapan Islam bagi menjaga diri sepanjang Ramadan, ada banyak tuntutan Islam melibatkan penjagaan hubungan sesama manusia (hablum minan nas).

Ibadah puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang boleh membatalkan puasa pada waktu siang. Umat Islam perlu menjaga lidah masing-masing agar tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan kotor. Begitu juga dilarang mengeluarkan kata-kata dusta semasa berpuasa. Semua ini menjadi larangan Allah SWT yang mempunyai kaitan dengan hubungan sesama manusia. Manusia tidak akan berdusta kepada dirinya sendiri, tetapi pendustaan berlaku melibatkan orang lain.

Hal ini yang perlu dipelihara oleh setiap Muslim. Tutur kata palsu atau bersifat kotor boleh meleraikan ikatan ukhuwah sesama Muslim. Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta malah mengamalkannya, maka Allah tidak menerima (amalannya) daripada rasa lapar dan haus yang ditanggung (kerana berpuasa)." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menjelaskan bahawa puasa bagi orang yang masih berdusta dalam tutur katanya tidak akan diterima oleh Allah SWT. Maka puasanya menjadi sia-sia tanpa sebarang ganjaran pahala.

Antara amalan pada bulan Ramadan yang boleh mengeratkan hubungan sesama Muslim ialah apabila kita dianjurkan untuk menjamu orang yang berpuasa ketika berbuka. Tidak semestinya jamu mereka
di rumah sendiri kerana sebenarnya banyak saluran yang boleh dimanfaatkan untuk menyalurkan bantuan bagi menjamu orang yang berpuasa. Kita boleh menyumbang duit kepada pihak masjid yang mengadakan majlis berbuka puasa, juga kepada rumah-rumah anak yatim atau penempatan fakir miskin.

Pahala yang besar menanti orang yang sudi menginfakkan sedikit daripada hartanya untuk menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang puasa untuk berbuka, maka baginya pahala sebagaimana pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun." (Hadis riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi)

Perbuatan ini menzahirkan betapa orang yang kaya tidak menyisihkan saudara sesama Islam dalam kesusahan, apatah lagi apabila masing-masing menjalani ibadah puasa.

Pada bulan Ramadan juga ramai dalam kalangan kita yang menghidupkan sunnah Rasulullah SAW iaitu dengan melakukan tadarus al-Quran. Dalam bab tadarus al-Quran, perlu difahami bahawa makna tadarus ialah membaca al-Quran bersama orang lain dengan ada pihak yang membaca al-Quran dan ada pula yang mendengar dan menyemak bacaan. Inilah proses tadarus yang berlaku antara Rasulullah dan malaikat Jibril pada Ramadan.

Tadarus al-Quran perlu dijadikan medan untuk kita memperbaiki bacaan al-Quran khususnya dari segi tajwid. Jangan pula al-Quran dibaca secara tergesa-gesa tanpa mengikut hukum bacaan yang betul semata-mata untuk cepat khatam. Sesungguhnya kita diperintahkan oleh Allah SWT untuk membaca al-Quran secara tartil iaitu mengikut cara bacaan yang tertib, jelas dan mengikut hukum hakam bacaan dengan betul. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "…dan bacalah al-Quran dengan tartil." (Surah al-Muzammil, ayat 4)

Amalan tadarus al-Quran ini boleh menjadi medan menyerlahkan keutuhan hubungan sesama Muslim. Dalam usaha meraih pahala menerusi bacaan al-Quran, umat Islam memerlukan orang lain untuk memperbetulkan bacaannya. Sangat indah suasana umat Islam berkumpul untuk membaca al-Quran dan memperbaiki bacaan masing-masing.

Usaha membaca al-Quran untuk mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. Kita mahukan semua mendapat pahala, justeru setiap Muslim perlu saling bertolong bantu agar semua orang mendapat pahala daripada usaha membaca al-Quran. Semoga ukhuwah umat Islam terus utuh kerana agama ini adalah agama persaudaraan.

Marilah sama-sama kita mengambil peluang Ramadan ini untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama manusia. Lihatlah keadaan sekeliling kita yang tidak pernah sunyi daripada berurusan dengan sanak-saudara, jiran tetangga, rakan sekerja, komuniti setempat serta orang ramai. Semuanya boleh menjadi 'ladang pahala' untuk diri yang sentiasa berusaha untuk melakukan kebaikan terhadap sesama manusia.

Ingatlah peringatan Allah SWT yang menekankan kepentingan melakukan kebaikan kepada orang ramai setelah dinyatakan keperluan untuk beribadah dan mentauhidkan-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri." (Surah an-Nisa', ayat 36)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 7:01 AM