Tujuan utama  pensyariatan  puasa Ramadan adalah  untuk melahirkan insan  bertakwa.
Tujuan utama  pensyariatan  puasa Ramadan adalah  untuk melahirkan insan bertakwa.
Oleh Prof Madya Dr Mohd Shukri Hanapi

Untuk memupuk insan supaya benar-benar  memahami  tujuan  utama pensyariatan ibadah puasa  Ramadan, mereka disarankan  meneliti, memahami dan menghayati firman Allah SWT yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah ayat 183)

Berdasarkan ayat ini, tujuan utama  pensyariatan  puasa Ramadan adalah  untuk melahirkan insan bertakwa. Berhubung makna takwa ini, para ulama mengemukakan beberapa pengertian. Antaranya ialah meletakkan penghalang dan penghadang di antaramu dengan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT; melaksanakan perintah Allah SWT dan menghindari larangan-Nya; dan melaksanakan amalan taat dan meninggalkan amalan maksiat.

Berhubung makna takwa juga, Sayyidina 'Umar al-Khattab r.a. pernah bertanya  kepada  Ubai  bin Ka'ab, "Apakah takwa itu?" Ubai menjawab, "Wahai Amir al-Mukminin, tidakkah engkau pernah memasuki jalan yang penuh berduri?" Kemudian Sayyidina 'Umar menjawab, "Ya." Ubai berkata, "Apakah yang engkau lakukan?" Sayyidina 'Umar menjawab, "Aku menyinsingkan seluarku dan memerhatikan kakiku. Aku meletak satu langkah demi satu langkah dengan cermat kerana takut terkena duri." Ubai berkata, "Itulah takwa." Maksud takwa di sini ialah berhati-hati supaya tidak melakukan perkara yang ditegah dan diharamkan oleh Allah SWT.

Berdasarkan makna takwa ini, maka dapat dirumuskan bahawa puasa orang yang sekadar tidak makan dan minum pada siang hari Ramadan serta menjaga segala perkara yang membatalkan puasa sahaja adalah sama sekali tidak memadai. Walaupun puasanya sah di sisi syarak, ia tidak menepati  tujuan utama  puasa Ramadan. 

Untuk penjanaan takwa, seseorang Muslim itu bukan sahaja dikehendaki mematuhi segala syarat yang ditetapkan dan menjauhi segala perkara yang membatalkan puasa, malah mereka juga dikehendaki menghindari segala perkara yang dilarang dan diharamkan oleh Allah SWT seperti meninggalkan solat, mendedahkan aurat, mengeluarkan kata-kata kesat, melihat dan mendengar perkara maksiat, dan sebagainya. Sebenarnya hal ini boleh mengurangkan dan menjejaskan pahala ibadah puasa. 

Untuk mempertingkatkan lagi  kualiti  puasa itu, kita dianjurkan memperbanyakkan amalan kebaikan, seperti solat sunat Tarawih, solat sunat witir, bertadarus al-Qur'an, iktikaf di masjid, berzikir, memperbanyak sedekah dan lain-lain. Inilah tahap puasa menjana takwa.

Oleh sebab itu, hampir setiap kali tibanya Ramadan, kita dituntut melakukan persediaan  rapi  bagi menempuh suasana Ramadan selama sebulan  dengan tidak mengabaikan objektif utama puasa. Hal ini bagi mengelakkan  masjid dan surau hanya meriah dengan dipenuhi para jemaah  pada awal Ramadan.  Kemeriahan ini biasanya hanya seketika dan tidak kekal. Ia mula beransur suram pada pertengahan Ramadan disebabkan para jemaah mula berkurangan. Ia berkurang lagi menjelang hari-hari  terakhir Ramadan. Dengan kata lain, semakin meningkatnya hari-hari dalam bulan Ramadan, semakin berkuranglah para jemaah di rumah Allah SWT. 

Jika ditanyakan kepada golongan ini kenapa mereka tidak ke masjid atau surau, berbagai-bagai alasan yang diberikan. Misalnya, penat bekerja, imam membaca surah terlalu panjang, di rumah pun boleh solat, menjaga anak kerana isteri sibuk membuat persiapan raya, ingin membuat kuih raya, baju raya dan sebagainya. Sebenarnya inilah situasi yang sering ditemui dalam bulan Ramadan.

Hal ini sebenarnya jelas bertentangan dengan amalan Rasulullah SAW yang berusaha mempertingkatkan amal ibadah lebih-lebih lagi menjelang malam-malam terakhir Ramadan. Diriwayatkan daripada Sayyidatina A'isyah r.a. bahawa Rasulullah SAW apabila telah masuk 10 hari terakhir bulan Ramadan, Baginda  SAW  akan menghidupkan malam-malamnya, mengejutkankan ahli keluarganya dan menunaikan solat sunat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Punca utama berlakunya situasi begini kerana kurangnya penghayatan terhadap keistimewaan dan kelebihan Ramadan. Keistimewaan dan kelebihan Ramadan banyak dijelaskan dalam Hadis Rasulullah SAW. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Apabila tiba bulan Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga, dikunci pula pintu-pintu neraka dan semua syaitan akan dibelenggu." (Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang melakukan solat malam pada Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredaan dan keampunan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang lalu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

 Selain itu, dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sayyidatina A'isyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui  Lailatul Qadar  pada malam-malam ganjil dalam sepuluh malam terakhir dari Ramadan." (Riwayat al-Bukhari)

Apabila kurangnya penghayatan terhadap keistimewaan dan kelebihan Ramadan, amalan sunat dalam bulan Ramadan bagaikan tiada roh, malah mereka tidak sedikit pun merasai kelazatannya. Hal ini menyebabkan mereka malas dan lalai. Dengan itu, rahmat dan hikmah yang dihidangkan oleh Ramadan tidak dimanfaatkan dengan betul. 

 Jika umat Islam benar-benar menghayati keistimewaan dan kelebihan yang terdapat dalam bulan Ramadan, nescaya mereka tidak akan melepaskan peluang untuk mengerjakan amal ibadah sepanjang Ramadan dengan hati ikhlas, tenang dan sempurna. Dengan itu, masjid dan surau akan dipenuhi jemaah dari awal Ramadan hingga akhirnya.

 Sempena   kehadiran Ramadan tahun ini, apakah persediaan paling penting supaya situasi sebelum ini (tidak mengambil peluang beribadah) boleh dipertingkatkan supaya puasa kita mencapai tahap  khawasil khawas  (puasa orang khusus)?

Supaya sikap tidak mengambil peluang beribadah sebelum  ini tidak berulang kembali, seseorang Muslim perlu bermuhasabah di manakah tahap puasanya sebelum ini. Jika puasanya hanya di tahap yang paling rendah, iaitu puasa orang awam (sekadar meninggalkan makan, minum dan perkara membatalkan puasa) dia hendaklah berusaha mempertingkatkan tahap puasanya pada tahun ini sekurang-kurangnya dapat mencapai tahap kedua, iaitu puasa orang khas (mereka cuba berusaha menjaga akhlak dan melakukan perkara sunat bagi menambahkan lagi kualiti puasanya). 

 Jika puasanya sebelum ini sudah pun berada di tahap yang kedua, dia hendaklah berusaha pula untuk mencapai tahap puasa di tingkatan tertinggi, iaitu puasa paling khas (khawasil khawas). Untuk mencapai tahap puasa  khawasil khawas , mereka bukan sahaja dituntut menjaga segala perkara yang membatalkan puasa, tetapi juga perkara yang boleh membatalkan pahala puasa. Anggota badan turut berpuasa dan hati pula sentiasa berzikir kepada Allah SWT. Inilah tingkatan puasa yang sepatutnya cuba dicapai oleh setiap Muslim. 

 Bagai mencapai tahap puasa ini, seseorang Muslim itu perlu mempersiapkan diri dengan akhlak mulia. Antara akhlak mulia tersebut adalah dengan sentiasa menjaga lidah dan mulut. Orang yang berpuasa perlu menjaga lidah daripada bercakap perkara sia-sia dan keji. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Puasa itu adalah perisai. Maka janganlah orang yang berpuasa itu bercakap perkara keji dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil."  (Riwayat al-Bukhari)

 Seseorang Muslim perlu memberi perhatian dalam hal ini supaya puasa yang dilaksanakan benar-benar berkualiti dan mendapat ganjaran sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT.  Janganlah di akhirat nanti kita menyesal kerana puasa yang dikerjakan itu hanya sia-sia lantaran tidak mencapai standard yang ditetapkan. 

 Inilah amaran kepada golongan yang lalai dalam puasa. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain daripada lapar dan dahaga sahaja."  (Riwayat al-Bukhari)

Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 7:01 AM