BERNAMA

Kuala Lumpur: Kertas kerja menyelaraskan perkhidmatan Uber, Grabcar dan teksi dijangka dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata kertas kerja itu kini dalam peringkat penilaian sebelum dibawa ke Kabinet.

Katanya proses penyelarasan itu melibatkan jangka masa panjang kerana perlu melalui banyak peringkat penilaian dengan pembabitan banyak pihak.

"Proses ini membabitkan perubahan undang-undang, oleh itu kita perlu meneliti secara terperinci," katanya ketika membuat tinjauan di Terminal Bersepadu Selatan di sini, hari ini.

SPAD dalam cadangan Program Transformasi Industri Teksi yang dikemukakan kepada kerajaan baru-baru ini antara lain menjelaskan perlunya membenarkan dari segi undang-undang perkhidmatan Uber dan GrabCar serta menyamaratakan medan persaingan untuk pemandu teksi.

Syed Hamid menasihatkan pemandu teksi komersial, Uber dan Grabcar supaya tidak mengambil tindakan sendiri di luar batas undang-undang.

"Kami berharap semua pihak bertenang dan janganlah ‘provoke’ satu sama lain sehingga isu ini diselesaikan," katanya.

Beberapa kes pergaduhan pemandu teksi dengan pemandu Uber dan GrabCar berlaku, dengan terbaru pemandu GrabCar diserang dan kenderaannya dirosakkan ketika mengambil penumpang di MidValley.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 7:12 PM