NADZIM (dua kanan) pada sidang media PPIM.
NADZIM (dua kanan) pada sidang media PPIM.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Satu penetapan khusus perlu dikuatkuasakan pihak berwajib bagi memastikan pemandu Uber dan GrabCar tertakluk kepada peraturan dan sistem sedia ada di negara ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, cadangan itu dirasakan perlu kerana pihaknya menerima banyak aduan mengenai industri itu terutama membabitkan soal keselamatan penumpang.

Katanya, ketika ini mereka tidak berada dalam kawalan seperti pemandu teksi dan boleh lari daripada tanggungjawab sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

"Kita perlukan satu kawalan khusus seperti juga pemandu teksi. Pemandu Uber dan GrabCar sepatutnya tidak terkecuali daripada menggunakan lesen kenderaan awam (PSV) kerana mereka juga tertakluk kepada undang-undang.

"Sebagai contoh, kalau kereta itu klon, rosak dan sebagainya tidak ada orang yang tahu. Penumpang yang berada dalam risiko sebenarnya. Sedangkan teksi menjalani pemeriksaan berkala enam bulan sekali," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Kesatuan Pegawai Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia, Hamzah Masri dan Ketua Sekretariat Persatuan Anak Muda Islam Malaysia (AMIM) Yusuf Azmi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2016 @ 11:35 AM