ANTARA barangan yang dirampas. FOTO ihsan Polis
ANTARA barangan yang dirampas. FOTO ihsan Polis
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Polis Johor menyelesaikan kes samun berkumpulan di beberapa daerah di negeri ini berikutan penahanan empat lelaki warga asing dalam dua serbuan di Air Bemban dan Air Manis, Kulai, pagi semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata penahanan semua suspek itu hasil Op Rantau Khas oleh Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kulai.

"Bertindak atas maklumat kegiatan samun oleh warga asing, pasukan khas ditubuhkan unthk membuat serbuan di dua lokasi berasingan.

"Empat lelaki warga asing berusia 23 hingga 42 tahun dipercayai aktif melakukan kegiatan samun berkumpulan ditahan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya seorang suspek ditahan di Air Bemban pada 7.30 pagi dan tiga lagi di Air Manis pada 11 pagi.

Katanya turut dirampas pelbagai barangan bernilai seperti beberapa telefon bimbit, jam tangan, wang tunai RM361 dan Rupiah Indonesia 134,600.

"Motosikal milik mangsa dan dua pucuk pistol tiruan yang dipercayai digunakan ketika melakukan samun turut dirampas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 6:28 PM