Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh (tiga dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas daripada kumpulan samun. - Foto ZULKARNAIN AHMAD TAJUDDIN
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh (tiga dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas daripada kumpulan samun. - Foto ZULKARNAIN AHMAD TAJUDDIN
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Polis Johor Bahru Selatan (JBS) melumpuhkan kegiatan satu kumpulan samun bersenjata parang dengan menyamar sebagai polis berikutan penangkapan empat individu termasuk suspek utama berusia 32 tahun di bandar ini, hari ini.

Ketua Polis Daerah JBS Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, lelaki yang juga dalang utama kegiatan samun itu, ditahan bersama tiga wanita di dua lokasi berbeza.

Katanya, tangkapan pertama di sekitar Taman Sri Orkid dan Flat Larkin, Larkin Idaman, Larkin pada 1 pagi sebelum tangkapan kedua pada 4 pagi.

“Polis merampas pelbagai barangan, termasuk 19 telefon bimbit, komputer riba, jam tangan, mata wang Malaysia dan Singapura.

"Turut dirampas jaket, jeans hitam dan baju-T polis, vest ‘azimat kebal’ dan kasut polis serta sebilah parang panjang 46 sentimeter," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Trafik JBS di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya percaya dapat melumpuhkan kegiatan samun dan menyamar polis yang aktif sejak dua tahun lalu berikutan penahanan mereka.

“Kumpulan itu dipercayai mensasar individu tempatan, termasuk yang bekerja di Singapura dengan di tempat sunyi serta awal pagi.

"Siasatan mendapati tiga wanita berkenaan menjadi orang tengah menjual barangan curi kepada pihak lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 2:18 PM