DR Wan Junaidi
DR Wan Junaidi

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) bersedia membantu menyalurkan segala insentif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) kepada usahawan dan koperasi yang terkesan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif Pemerkasa dengan memberi lima fokus utama program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang 2021.

Katanya, Medac komited bagi memastikan inisiatif yang diumumkan ini dapat dinikmati segera oleh usahawan yang disasarkan agar aktiviti perniagaan mereka dapat diteruskan dan dapat dipulihkan kesan daripada kelembapan ekonomi akibat penularan pandemik Covid-19.

"Medac juga telah mengenal pasti serta menyokong pemberian insentif yang berkaitan usahawan dan koperasi seperti Geran Khas Prihatin (GKP 3.0).

"Setiap perusahaan mikro dan PKS yang layak akan menerima bantuan 'one-off' sebanyak RM1,000 dijangka akan memanfaatkan lebih sejuta usahawan.

"Selain itu, bagi usahawan sektor informal, Tekun Nasional akan menyediakan dana tambahan sebanyak RM60 juta, terutama untuk Skim Pembiayaan Informal dengan had pembiayaan sehingga RM5,000 bagi perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah, pasar malam dan pasar tamu.

"Tekun Mobilepreneur juga akan diperluaskan untuk pembiayaan membaik pulih atau membeli motosikal baharu dengan had sehingga RM10,000.

"Manakala, SME Corp akan menyediakan RM50 juta untuk membantu PKS tempatan mendapatkan pembiayaan sehingga RM250,000 pada kadar faedah serendah 3.0 peratus," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, SME Bank turut menyediakan dana pinjaman RM200 juta untuk membiayai pembelian mesin dengan insentif geran sehingga 20 peratus ke atas nilai mesin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 7:20 AM