JAMAL, Zamani, Ameng, Jamilul jayakan Konsert Tiga Suara di IB, 22 September.
JAMAL, Zamani, Ameng, Jamilul jayakan Konsert Tiga Suara di IB, 22 September.

Beraksi di Istana Budaya (IB) menjadi impian ramai penyanyi terkenal tanah air dan Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah antara yang sangat bertuah kerana sering berpeluang menjayakan konsert di pentas prestij itu.

Antaranya Konsert Live @ Istana Budaya pada 2006, Konsert J2011 Lagenda (2011), Konsert Gegar Lagenda (2013) dan Konsert Nostalgia Datuk Jamal Abdillah (2014).

Melalui konsert itu, pelbagai artis menjadi pilihan Jamal seperti lima artis rock era 90-an, Saleem (Iklim), Aris Ariwatan, Rahmat (Mega), Zamani (Slam) dan Ali (Terra Rossa) ketika Konsert Gegar Lagenda manakala penyanyi lagenda Indonesia, Eddy Silintonga menjadi undangan Konsert Nostalgia Datuk Jamal Abdillah.

Tahun ini, sekali lagi Jamal bakal beraksi di IB dan kali ini memilih gandingan bersama Zamani Slam dan Ameng Spring serta penampilan istimewa adiknya, Jamilul Hayat untuk menjayakan Konsert Tiga Suara.

Konsert dianjurkan syarikat miliknya, Binjamal Event Sdn Bhd akan diadakan empat hari berturut-turut bermula 22 September nanti.

Apabila empat nama ini dikumpulkan berkongsi satu pentas, tentu umum dapat melihat persamaan yang wujud antara mereka. Penyanyi dikenali dengan vokal lunak ini sama-sama memiliki sejarah sama.

Konsert kali ini juga istimewa kerana mereka cukup dikenali dengan kehebatan vokal dan antara penyanyi lelaki yang terus bertahan hingga kini.

Jamal atau Jamal Ubaidillah Ali, 57, tidak menafikan pemilihan Ameng dan Zamani kerana memiliki sejarah yang sama.

Katanya, dia pernah berada di tempat mereka dulu tetapi peminat masih percaya dan beri peluang kepadanya untuk terus kekal hingga kini dalam industri.

Kini Jamal terpanggil untuk membantu mereka, sekali gus memberi sokongan supaya kembali bangkit dan berjaya seperti dirinya.

Sebelum ini Jamal pernah mengundang Saleem Iklim menjayakan konsert khas tapi kali ini Jamal mengakui tidak mengundang Saleem kerana memilih gandingan yang lain pula.

Perancangan mendapatkan Ameng juga dilakukan sejak setahun lalu dan Jamal sendiri berjumpa Ameng di Penjara Kluang, Johor untuk berbincang dan akhirnya dapat direalisasikan.

Jamal memang satu dalam seribu. Mula dikenali selepas menjuarai Bintang RTM pada 1979, selepas itu terus melakar satu demi satu kejayaan. Namun kerana salah langkah, dirinya terjebak dengan kontroversi.

Ternyata nasibnya baik kerana terus diterima peminat dan dia kini boleh menjadi contoh buat artis senasib dengannya hingga terus diminati dan terus bertahan selama 37 tahun dalam industri.

Kini masa untuk dirinya membantu adik-adik sealiran meneruskan kerjaya seni selepas berhadapan dugaan. Pasti banyak dugaan yang harus mereka hadapi dan tentunya bantuan diberikan dapat membantu mereka bangkit semula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2016 @ 5:07 AM