APABILA diumumkan kemunculan Jamal ramai patah balik tengah padang basah kuyup.
APABILA diumumkan kemunculan Jamal ramai patah balik tengah padang basah kuyup.

Bintang RTM besar maknanya buat Datuk Jamal Abdillah, 56, kerana namanya mula dijulang selepas menjuarai pertandingan itu pada 1979.

Lagu popular Alleycats, Senandung Semalam membawa tuah kemudian dilamar menjadi artis WEA ketika usianya 20 tahun. Hingga kini kerjaya seninya masih terus teguh dan digelar Raja Pop Malaysia. Jamal juga antara beberapa artis tanah air yang terus menghasilkan album selama empat dekad.

Sudah tentu perasaannya dalam dilema apabila diundang menjadi juri untuk pertandingan itu yang berlangsung 2 April lalu.

Apakan daya kerana lebih dulu memberi persetujuan untuk menjayakan Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro sempena ulang tahun ke-25 akhbar nombor satu negara itu pada hari yang sama.

Berlangsung di Setia City Park, Setia Alam, ternyata keputusan diambil memberi kenangan manis buat Jamal apabila berhadapan dengan peminat setia yang sangat sporting.

Bayangkan hujan lebat ketika persembahan Siti Nordiana tetapi penonton yang padat memenuhi padang, lari mencari perlindungan tetapi masih ramai yang menantikan persembahan selesai.

Bagaimanapun apabila pengacara AG dan Sherry Al-Hadad mengumumkan kemunculan Jamal, ramai yang berpatah balik ke tengah padang dan sanggup basah kuyup semata-mata mahu menyaksikan persembahan penyanyi kesayangan mereka.

Selesai lagu Aku Penghibur, mereka tidak berganjak walaupun AG meminta persembahan dihentikan atas faktor keselamatan. Namun Jamal memilih untuk meneruskan persembahan dengan lagu Azura.

Jamal terharu melihat peminatnya berpatah balik dan sanggup basah kuyup semata-mata mahu melihat persembahannya dari dekat. Segala risiko ditolak ke tepi kerana rasa kasihan melihat peminat yang tidak berganjak.

“Kesian peminat di bawah. Mereka sanggup berhujan basah kuyup untuk menyaksikan persembahan saya, apa salahnya saya ketepikan risiko teruskan persembahan. Siapa yang tidak bimbang tapi sudah dipertanggungjawabkan menghibur penonton,” katanya.

Sepanjang April dan Mei, Jamal akui sibuk memenuhi undangan menyanyi. Pada 19 April menjayakan pelancaran Chinta Mahligai Ndah yang kini beroperasi di Bangunan UMNO Shah Alam, kemudian persembahan sempena Minggu Setiausaha di The Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 29 April. Selain itu, menjayakan Sejiwa Senada di Sarawak pada April dan Mei.

Tentunya yang paling dinantikan ialah Konsert 3 Suara yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada September depan. Ia dianjurkan binJamal Event Sdn Bhd selama empat hari berturut-turut menggandingkan dirinya bersama dua lagi penyanyi lelaki, Ameng dan Zamani. Jamal juga mengundang adiknya, Jamilul Hayat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 5:02 AM