PEMAIN England   sesuaikan diri dengan keadaan di Perancis.
PEMAIN England sesuaikan diri dengan keadaan di Perancis.
AFP

Chantilly, Perancis: Pertahanan kiri Southampton Ryan Bertrand satu-satunya pemain England yang tidak hadir pada sesi latihan pertama di pusat latihan Chantilly di utara Paris, semalam.

Bertrand tidak beraksi ketika England menang 1-0 ke atas Portugal minggu lalu kerana kecederaan kaki dan masih belum pasti untuk diturunkan pada perlawanan pertama bertemu Russia di Marseille, Sabtu ini.

Ketika pemain lain bekerja keras, Bertrand pula melalui sesi latihan bersama jurulatih kecergasan. Pemain Tottenham Hotspur Danny Rose mungkin akan diturunkan menggantikan tempat Bertrand apabila bertemu Russia.

Disaksikan kira-kira 4,000 penyokong, pengurus England Roy Hodgson berkata: “Kami gembira berada di sini dan terima kasih kepada semua peminat.”

Menggelarkan Chantilly sebagai bandar yang cantik, beliau menambah: “Terima kasih dan sama-sama saksikan sesi latihan ini.”

Semua 22 pemain termasuk penyerang Leicester City, Jamie Vardy yang dikaitkan mendapat tawaran ke Arsenal, berlatih di bawah cuaca panas terik.

Selepas selesai sesi pemanas badan, mereka dilihat berlatih melakukan hantaran bola.

Datuk Bandar Chantilly Eric Woerth mengalu-alukan kehadiran skuad England dalam sesi latihan itu sementara beberapa kumpulan kanak-kanak menyanyikan lagu ‘God Save the Queen’. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 9:03 AM