MAHREZ
MAHREZ
SLIMANI
SLIMANI
VARDY
VARDY

London: Pengurus Leicester City Claudio Ranieri mengadakan sesi latihan khusus buat Jamie Vardy, Islam Slimani dan Riyad Mahrez dan berharap mereka mampu membentuk gandingan penyerang prolifik yang boleh mengkucar-kacirkan pertahanan lawan di Liga Perdana Inggeris.

Leicester banyak bergantung kepada jaringan Vardy dan Mahrez apabila mereka menjulang kejuaraan sulung dengan kelebihan 10 mata musim lalu tetapi hanya lapan gol dijaringkan dalam tujuh perlawanan liga musim ini.

Ranieri bagaimanapun yakin usaha yang dilakukannya terhadap trio penyerangnya akan membawa ganjaran.

“Pada sesi latihan, saya sentiasa meletakkan ketiga-tiga pemain itu bersama-sama untuk pengurusan yang lebih baik dan sentiasa beraksi baik dalam setiap situasi. Saya percayakan ketiga-tiga mereka,” kata Ranieri.

“Ada sesi khas diadakan buat mereka dan dalam setiap perlawanan ketiga-tiganya digandingkan bersama supaya hubungan dan persefahaman di antara mereka menjadi lebih baik.

“Ketiga-tiga mereka mempunyai persefahaman yang baik dan ia kekuatan untuk masa depan.

Slimani menemui sentuhannya sejak menyertai kelab itu dengan rekod bayaran tertinggi kelab apabila menjaringkan tiga gol dalam lima perlawanan namun Vardy masih ketandusan jaringan sejak ketibaan pemain Algeria itu.

Leicester yang kini di tangga ke-12 liga, berkunjung ke Chelsea yang berada di tangga ketujuh malam ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 9:00 AM