Shakespeare (kiri) punyai minat mendalam bantu Foxes kembali menggegar liga.
Shakespeare (kiri) punyai minat mendalam bantu Foxes kembali menggegar liga.
AFP

London: Pertahanan Leicester, Danny Simpson percaya Craig Shakespeare berhak dipertimbangkan secara serius sebagai pengurus tetap kelab itu.

Shakespeare bertugas secara sementara ketika Leicester membenam Liverpool 3-1 awal pagi kelmarin dalam perlawanan pertama mereka sejak pemecatan mengejut Claudio Ranieri.

Foxes, juara musim lalu, melonjak keluar dari zon penyingkiran berikutan kemenangan pertama dalam enam aksi Liga Perdana.

Mereka menanti kunjungan pasukan bermasalah Hull Sabtu ini, dengan Shakespeare bercadang mengukuhkan peluangnya diberikan jawatan itu.

Bekas pengurus England, Roy Hodgson antara beberapa calon berprofil tinggi yang dikaitkan dengan Leicester.

Namun, Shakespeare mendapat sokongan kuat skuad itu dan Simpson menganggap pengendali berusia 53 tahun itu calon paling layak untuk memegang jawatan itu secara tetap.

“Saya tidak lihat kenapa tidak, tapi ia adalah keputusan pengerusi. Terpulang kepadanya kerana beliau pemilik kelab ini, beliau mempunyai minat mendalam terhadap kelab ini,” katanya.

“Keputusan itu bukan kami yang tentukan tapi beliau amat bagus.

“Sejak hari pertama beliau banyak membantu saya. Beliau seorang jurulatih hebat, lelaki hebat dan bertindak menakjubkan.

“Beliau memudahkan urusan dan memberitahu kami apa yang mahu dilakukannya, sesuatu yang mudah dan asas jadi kami melakukannya dengan harapan dapat membantunya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 8:25 AM