ANGGOTA polis Perancis membantu penyokong England yang cedera.
ANGGOTA polis Perancis membantu penyokong England yang cedera.

Paris: Ketua Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) Greg Dyke berharap faktor keselamatan dapat dipertingkatkan apabila England turun pada perlawanan seterusnya ketika saingan Euro 2016 selepas penyokong mereka terbabit dengan pergaduhan bersama peminat Russia pada aksi pembukaan.

Dyke turut membidas faktor keselamatan stadium di Marseille pada Sabtu lalu yang disifatkannya tidak boleh diterima akal.

Beliau menulis sepucuk surat kepada UEFA susulan ketegasan Perancis mengenakan hukuman penjara ke atas enam penyokong England bagi tempoh maksimum tiga bulan kerana terbabit dengan insiden pergaduhan di Marseille. Pihak pendakwa Perancis mengesahkan 150 penyokong Russia turut ditangkap.

Penyokong England dan Russia mungkin terbabit dengan insiden pergaduhan sekali lagi di Lille minggu ini.

Russia akan beraksi pada perlawanan Kumpulan B di Lille hari ini. Penyokong England pula dijangka berkumpul di Lille pada hari sama menjelang perlawanan seterusnya bertemu Wales esok.

Dyke berkata, FA Inggeris dan kerajaan Britain akan bekerja keras untuk membantu penyokong England di Lille.

“Kami amat mengambil berat mengenai faktor keselamatan di bandar itu untuk tempoh beberapa hari ini. Ini kerana Russia akan beraksi di Lille pada Rabu (hari ini),” katanya.

Dyke meminta anggota polis di Lille dan Lens mengadakan perbincangan secepat mungkin untuk memastikan mereka dalam keadaan bersiap sedia sepenuhnya.

UEFA sudah memberi amaran kepada Russia dan England bahawa penyertaan mereka di saingan Euro akan dibatalkan jika penyokong kedua-dua negara itu terbabit sekali lagi dengan insiden pergaduhan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 10:28 AM