GIACCHERINI (tengah) tenang ledak gol pertama Itali.
GIACCHERINI (tengah) tenang ledak gol pertama Itali.
AFP

Lyon, Perancis: Gol pada setiap babak menerusi Emanuele Giaccherini dan Graziano Pelle memastikan permulaan baik Itali dalam kempen Euro 2016 apabila skuad Azzurri mengalahkan pasukan berprofil tinggi Belgium 2-0, awal pagi semalam.

Belgium bimbingan Marc Wilmots, pasukan di ranking tertinggi pada pusingan akhir Euro mendominasi permainan dalam pertembungan Kumpulan E di Stade de Lyon.

Bagaimanapun jaringan Giaccherini selepas setengah jam dan sepakan menarik penyerang Southampton Pelle pada hujung permainan membolehkan bakal pengurus Chelsea Antonio Conte meraih tiga mata penuh.

Namun Conte tidak mahu terlalu mendabik dada kerana Itali pernah tersingkir di Piala Dunia dua tahun lalu meskipun mengalahkan England dalam perlawanan pembukaan.

“Saya tidak fikir hanya dengan satu perlawanan penilaian orang akan berubah dan kami masih mengingati kekecewaan di Piala Dunia apabila kami beraksi baik mengalahkan England tapi tidak memberi makna apabila tersingkir selepas itu,” kata Conte yang mengalami sedikit luka di muka ketika meraikan gol pertama Itali.

“Luka dua tahun lalu mesti diatasi segera pemain. Mereka sedar untuk mara di kejohanan ini mereka perlu melakukan sesuatu yang luar biasa.”

Keputusan seri 1-1 Sweden dengan Republik Ireland sebelum itu di Stade de France menyaksikan Itali kini menduduki tangga teratas kumpulan.

Belgium pula berdepan ujian getir menentang Ireland Sabtu ini di Bordeaux dan mereka perlu menang untuk mengelak daripada dimalukan tersingkir awal.

“Kami perlu menang dua perlawanan seterusnya untuk melepasi pusingan kalah mati,” kata jurulatih Belgium Wilmots yang enggan menyalahkan bintang Liga Perdana Kevin de Bruyne dan Romelu Lukaku atas kekalahan itu.

“De Bruyne dan Lukaku tidak beraksi baik tapi kami tidak mahu mengkritik individu.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 10:01 AM