LUKAKU (dua dari kanan) belum meledak setakat ini.
LUKAKU (dua dari kanan) belum meledak setakat ini.
AFP

Bordeaux: Belgium yang akan turun perlawanan kedua saingan Euro 2016 menentang Ireland hari ini, begitu terdesak untuk mencari kemenangan berikutan kekalahan kepada Itali pada aksi pertama dengan Romelu Lukaku menjadi bahan perbincangan hangat sama ada perlu digugurkan atau sebaliknya.

Skuad bimbingan Marc Wilmots itu dibarisi ramai pemain bintang dan menduduki ranking kedua dunia tetapi mereka tewas 0-2 di tangan Itali pada aksi pembukaan Kumpulan E di Lyon, Isnin lalu.

Kegagalan Lukaku mencari penyudah terbaik menjadi punca kekalahan. Wilmots menegaskan barisan pemain seperti Michy Batshuayi, Divock Origi dan Christian Benteke sudah sedia diturunkan sekali gus menyaksikan pemain sayap Everton itu mungkin diketepikan di Bordeaux.

“Beberapa penyerang lain sedang bekerja keras pada sesi latihan dan mungkin berpeluang untuk diturunkan.

“Saya mahu pemain memberi tekanan kepada pertahanan lawan. Saya lihat aksi penyerang Romania (Florin Andone) ketika menentang Perancis.

“Dia bekerja keras untuk pasukan. Perkara seperti itu amat penting,” katanya yang dilihat seolah-olah mengkritik Lukaku.

Bukan Lukaku saja yang terancam, malah pemain tengah Marouane Fellaini dan Radja Nainggolan serta pertahanan kanan, Laurent Ciman turut berdepan risiko digugurkan pada perlawanan hari ini yang berlangsung di Stadium Matmut Atlantique.

Masih belum pasti sama ada kapten Eden Hazard atau Kevin De Bruyne yang kembali menjalani latihan selepas berdepan kecederaan ketika bertemu Itali akan diturunkan, tetapi Dries Mertens yang beraksi untuk Napoli, bersedia beraksi.

Yang pasti, Willmots tidak mungkin mengubah formasi kegemarannya iaitu 4-2-3-1.

“Anda boleh tewas satu atau dua perlawanan. Ia akan menyebabkan semua pihak menilai prestasi kami sama ada baik atau buruk. Tapi saya tidak akan mengubah prinsip.

“Pasukan ini hasil projek empat tahun. Kami tidak boleh membiarkan satu kekalahan memusnahkan segala kejayaan diraih sebelum ini,” kata Wilmots.

Satu lagi kekalahan akan menghancurkan impian Belgium. Walaupun di atas kertas mereka tidak pernah tewas kepada Ireland pada perlawanan kompetitif.

Ireland pula dilihat mempamer prestasi meyakinkan ketika seri 1-1 dengan Sweden di Stade de France pada perlawanan yang menyaksikan Wes Hoolahan meledak gol cantik.

Skuad bimbingan Martin O Neill sudah mengumpul satu mata sekali gus pencapaian terbaik berbanding Euro 2012, tetapi pengurus Ireland itu sedar Belgium pasukan berbeza berbanding Sweden.

“Selepas undian peringkat kumpulan, saya jangkakan Belgium akan menamatkan saingan peringkat kumpulan sekurang-kurangnya di tangga kedua. Jadi mereka pasti akan mempamerkan aksi terbaik.

“Mereka dibarisi ramai pemain berbakat di kejohanan ini.

“Sudah tentu ia akan menjadi perlawanan cukup sukar untuk kami. Tapi kami juga mahu memberi kesukaran kepada mereka,” katanya.

Pertahanan kiri Robbie Brady yang beraksi cemerlang ketika bertemu Sweden berkata: “Kami tidak boleh berasa tertekan apabila turun pada perlawanan esok (hari ini). Kami mempunyai barisan pemain yang mampu mengecewakan lawan seperti ketika bertemu Sweden sebelum ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2016 @ 5:26 AM