ANTARA gimik pelancaran.
ANTARA gimik pelancaran.
DR Lee menerangkan kepada tetamu yang hadir mengenai penjagaan kaki yang betul.
DR Lee menerangkan kepada tetamu yang hadir mengenai penjagaan kaki yang betul.
Siti Nadirah Hafidzin


Kaki perlu diberi perhatian khusus kerana anggota penting itu mempunyai peranan terbesar dalam kehidupan seharian iaitu sebagai pelengkap diri, melancarkan pergerakan badan serta menampung berat tubuh.

Wajah dan bentuk badan yang cantik tidak memberikan apa-apa makna sekiranya kaki tidak dijaga rapi yang akhirnya meninggalkan kemudaratan pada kesihatan seseorang.

Pastinya penjagaan anggota yang tidak dapat ditukar ganti itu memerlukan keprihatinan dalam memastikan kaki sentiasa berada pada tahap kesihatan yang baik.

Antara kaedah menjaga kesihatan kaki adalah melalui pemakaian kasut bersaiz tepat, pastikan ia selesa dan bersesuaian dengan aktiviti dilakukan.

Kira-kira 75 hingga 80 peratus golongan dewasa di negara ini mengalami masalah berkaitan kaki, tetapi kebanyakannya enggan mendapatkan khidmat nasihat pakar untuk mengatasi masalah terbabit sehingga ia berlarutan.

Menurut Pengasas dan Pegawai Eksekutif MyOrtho Datuk Dr Edmund Lee, di Malaysia 80 peratus individu mempunyai masalah kaki tertentu.

“Satu daripada lima individu mengalami sakit kaki, kebas atau kaki berdenyut manakala mereka yang lebih berusia cenderung untuk mengalami masalah kaki pada kadar yang lebih tinggi, namun kajian mendapati terdapat peningkatan masalah kaki yang turut dialami kanak-kanak dan remaja.

“Mereka yang lebih berusia lebih cenderung mengalami sakit kaki dan sekiranya mereka mempunyai penyakit kronik, sakit itu biasanya akibat kematu, kaki mengeras, dan kecacatan jari yang 75 peratus ialah benjolan sendi (bengkak menyakitkan pada sendi pertama ibu jari kaki),” katanya.

Menurut Dr Lee, sakit kaki dalam kalangan golongan muda kebiasaannya datang daripada sakit otot dan tekanan pada tulang.

“Kira-kira 30 peratus daripada warga emas yang kesakitan kaki mengalami kaki yang mengeras dan kira-kira 15 peratus mempunyai masalah kematu pada jari kaki mereka.

“Kebanyakan masalah ini berpunca daripada pemakaian kasut yang tidak sesuai seperti kasut wanita bertumit tinggi dengan muncung hadapan yang tajam,” katanya.

Dr Lee berkata, individu yang lebih berusia atau gemuk, wanita serta pesakit diabetes, penyakit jantung, lutut, pinggul atau sakit belakang mempunyai kadar yang lebih tinggi mengalami masalah kaki.

“Bagi wanita, sakit pada jari kaki dan bahagian bawah jari kaki lebih biasa dialami berbanding lelaki, dan ia semakin teruk apabila usia meningkat.

“Bagaimanapun, sakit pada tumit akan semakin berkurangan apabila usia semakin meningkat,” ujarnya.

Tambah Dr Lee yang juga pakar ortotik, bermula pada usia bayi, kanak-kanak sekolah, eksekutif, ahli sukan, wanita hamil sehinggalah mereka yang sakit terutama pesakit diabetes, dan warga emas, berisiko mengalami masalah kaki berbeza yang mencetuskan masalah kesihatan kaki masing-masing.

Kempen kesihatan kaki

Justeru, baru-baru ini, pakar ortotik MyOrtho berkongsi pandangan berkaitan kesihatan kaki berdasarkan usia tertentu selain melancarkan kempen CSR Kesihatan Kaki Kebangsaan 2016 yang pertama kali diadakan.

Ia adalah kempen kesihatan kaki menyeluruh yang pertama di seluruh negara untuk menangani peningkatan masalah kaki di negara ini.

Pengarah MyOrtho Datin Emily Lee merasmikan kempen yang bertemakan ‘Kaki untuk Kehidupan - Evolusi Kesihatan Kaki’.

“Segalanya suatu evolusi! Bagaimana manusia bermula, kerjaya, kesihatan, dan kehidupan seseorang. Semuanya berubah dan berkembang setiap hari termasuk kesihatan kaki yang setiap peringkat usia memberikan masalah kaki berbeza.

“Kaki ialah sokongan dan struktur utama kepada seluruh badan dan apabila kaki tidak sihat atau sakit, seluruh badan anda menderita dan ia akan mengakibatkan implikasi kesihatan yang serius,” katanya.

Menurutnya, tidak ramai yang tahu masalah kaki boleh dikawal sekiranya pengesanan awal dilakukan menerusi pemeriksaan kaki dan ia membantu mengurangkan masalah kaki sehingga 80 peratus.

MyOrtho turut memperkenalkan rangkaian kasut yang sesuai untuk pelbagai usia dan keadaan.

Di MyOrtho, rangkaian kasut termasuk pelapik dalam kasut yang disarankan pakar ortotik, alat penyokong kasut untuk orang dewasa, alat penyokong kasut untuk kanak-kanak, kasut untuk pesakit diabetes, rangkaian kasut kesihatan, pendakap Boston untuk skoliosis, kasut pelengkap kesihatan, aksesori kasut dan kasut tempahan khas.

Orang ramai yang tidak tahu mengenai status kesihatan kaki masing-masing tidak perlu bimbang kerana MyOrtho juga mempunyai pasukan perunding dan pakar ortotik.

Psikografik kesihatan kaki menyaksikan perubahan apabila mereka yang mengalami masalah kesihatan kaki menunjukkan peringkat usia semakin muda dan pastinya amat membimbangkan kerana mempunyai kaitan dengan perubahan gaya hidup.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.myortho.com.my.

Antara kaedah yang boleh dilakukan untuk menjaga kesihatan kaki:

• Pilih kasut yang sesuai dengan ukuran kaki.

• Lakukan pemeriksaan dan rawatan kaki berjadual.

• Jangan kerap berjalan tanpa memakai kasut.

• Jangan sesekali mengabaikan rasa sakit pada kaki atau pergelangan kaki.

• Angkat kaki dalam tempoh seketika terutama selepas berjalan atau berlari yang lama.

• Periksa keadaan kaki dengan teliti.

• Jaga kebersihan kaki dan kuku kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 12:31 PM