Reuters

London: Manchester United mendapat khidmat penyerang Sweden Zlatan Ibrahimovic (gambar) dan dia bakal menjadi pemain pertama yang dibeli kelab Old Trafford itu sejak dibimbing pengurus baharu Jose Mourinho, kata Sky Sports.

Naib pengerusi United Ed Woodward sedang menyiapkan kontrak setahun dengan wakil pemain itu dan bintang berusia 34 tahun berkenaan akan menyertai kelab gergasi Inggeris itu sebelum Euro 2016.

Aksi pertama Sweden di dalam Kumpulan E ialah menentang Ireland pada 13 Jun.

Bekas penyerang Malmo, Ajax Amsterdam, Juventus, Inter Milan, Barcelona dan AC Milan itu yang sudah menamatkan kontraknya di Paris St Germain, mahu menambah gelaran Liga Perdana di dalam koleksinya dan dia pernah menjulang kejuaraan Belanda, Serie A, La Liga dan Ligue 1.

Ibrahimovic meledak 11 daripada 19 gol Sweden sepanjang kempen kelayakan Euro termasuk tiga daripada empat gol ketika menang pada aksi play-off ke atas Denmark sekali gus membawa mereka ke pusingan akhir di Perancis.

Penyerang tinggi lampai itu menamatkan kariernya di PSG dengan membantu kelab itu memenangi gelaran Ligue 1 kedua berturut-turut. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:05 AM