IBRAHIMOVIC
IBRAHIMOVIC
AFP

ZLATAN Ibrahimovic kini memiliki kira-kira suku daripada saham pasukan bola sepak Hammarby yang berpangkalan di Stockholm, umum kelab itu hari ini.

Bekas penyerang Juventus, Barcelona, Paris Saint Germain dan Manchester United berusia 38 tahun itu membeli 50 peratus daripada pegangan syarikat sukan dan hiburan Amerika Syarikat Anschutz Entertainment Group's (AEG) dalam pasukan Sweden itu, menurut kenyataan berasingan daripada AEG.

AEG juga memiliki LA Galaxy di mana Ibrahimovic beraksi dalam dua musim MLS sebelum ini, biarpun mengesahkan akan meninggalkan kelab itu sebaik kontraknya tamat pada akhir tahun.

Ibrahimovic turut membayangkan bahawa dia sedang mengusahakan sesuatu apabila memuat naik video pendek di Instagram menunjukkan jersi bola sepak Hammarby dengan nama Ibrahimovic tertera di belakang.

Katanya, dia tidak akan bermain untuk Hammarby, ketika memberitahu majalah sukan Sportbladet: "Selama 10 tahun saya katakan saya tidak akan kembali ke Allsvenskan (liga utama Sweden). Ia tidak akan berlaku.”

“Saya sudah mencapai persetujuan dengan pasukan dari Hammarby dan AEG untuk melancarkan projek ini ke seluruh dunia. Bukan saja di Sweden.”

Hammarby adalah pencabar utama Malmo FF, kelab di mana Ibrahimovic bermula sebagai pemain profesional pada 1999.

“Perkara ini masih baharu buat kami, namun sudah tentu ia mengujakan,” kata pengerusi Hammarby Richard von Yxkull dalam satu kenyataan.

Kelab itu pada asalnya ditubuhkan pada lewat abad ke-19, biarpun ia mula menjadi kelab bola sepak pada 1915. Mereka menangi gelaran Sweden itu hanya sekali iaitu pada 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 6:33 PM