HUBUNGAN akrab Ibrahimovic, Maxwell hadirkan pelbagai trofi sepanjang karier.
HUBUNGAN akrab Ibrahimovic, Maxwell hadirkan pelbagai trofi sepanjang karier.

Brad dan Jennifer, Justin dan Britney, Puffy dan J-Lo. Kembali pada 2001, seluruh dunia teruja dengan kisah hubungan beberapa selebriti.

Malangnya, tiada siapa di antara mereka berjaya mengharungi ujian masa.

Namun pada tahun sama, satu hubungan masih bertahan sehingga ke hari ini. Ia bermula apabila seorang budak lelaki yang berlagak dari Malmo menyedari bahawa poketnya mula kosong dan kebosanan selepas meninggalkan kampung halaman buat pertama kali.

Apa yang dilakukannya adalah menghubungi seorang lagi pemain baru di Amsterdam, seorang remaja pemalu dari selatan Brazil.

Mereka bertemu dan mula bersahabat baik hinggakan enggan meninggalkan satu sama lain pada bulan berikutnya.

Realitinya, apabila Zlatan Ibrahimovic bertemu Maxwell lahirlah hubungan persahabatan terhebat dalam bola sepak.

Lima belas tahun berlalu, mereka masih bersahabat baik, menjadi rakan sepasukan dan mengumpul sejumlah ­pingat bersama-sama.

Sejak hari pertama bersama di Ajax, Ibrahimovic dan Maxwell atau nama penuhnya Maxwell Scherrer Cabelino Andrade bermain bersama di tiga kelab elit Eropah.

Sewaktu di Ajax, B arcelona, Inter Milan wdan Paris Saint-Germain mereka memenangi 10 gelaran liga di empat negara berbeza.

Tiada pemain bola sepak lain yang memenangi lebih banyak trofi apabila bermain bersama untuk empat kelab berbeza.

Pingat terbaru hadir Ahad lalu apabila PSG de­ngan mudah menjulang piala Ligue 1 dengan baki lapan perlawanan selepas berjaya membelasah Troyes dengan sembilan gol dan Ibrahimovic menjaringkan empat gol.

Ia menjadikan empat gelaran liga berturut-turut sejak kedua-duanya kembali bertemu di Paris pada 2012.

Sebelum itu mereka memenangi tiga gelaran Serie A bersama Inter pada 2007 hingga 2009, satu trofi La Liha sewaktu semusim Ibrahimovic di Nou Camp pada 2010 dan dua gelaran Eredivisie pada 2002 dan 2004, ketika hubungan persahabatan mereka bermula di Belanda.

Namun ketika Ibrahimovic mendapat lebih tumpuan berita sebagai penyerang, khususnya kerana mulutnya yang lantang, rakannya yang pendiam di bahagian belakang turut berbangga dengan koleksi trofinya.

Malah hasil dua gelaran Serie A sewaktu menyertai Juventus susulan skandal mengatur perlawanan Calciopoli pencapaian Maxwell sebenarnya jauh lebih baik daripada Ibrahimovic.

Ini kerana sewaktu pemain Sweden itu dipinjam­kan ke AC Milan pada musim 2010-11 (di mana dia memenangi Serie A sekali lagi) Maxwell kekal di Barcelona untuk merangkul satu pingat yang masih gagal dimenangi sahabatnya iaitu Liga Juara-Juara.

Bagi seseorang yang mempunyai lebih banyak koleksi trofi berbanding Ibrahimovic dan masih bersahabat dengannya, Maxwell pastinya seseorang yang istimewa.

Dia membuktikannya ketika kedua-duanya masih berusia 19 tahun dalam pengembaraan hebat pertama mereka di Amsterdam, sebuah bandaraya yang menyaksikan ramai remaja gagal sejak bertahun lamanya.

Ibrahimovic sendiri mengakui dia berdepan masalah ketika itu.

“Saya datang ke Amsterdam sendirian dan berdepan masalah pada bulan pertama,” katanya dalam satu wawancara dua tahun lalu, mendedahkan dia tidak berduit selepas bayaran pertama hanya diterima pada hujung bulan terakhir di Ajax.

Di rumahnya hanya ada sebuah televisyen dan katil. Di garajnya, sebuah Mercedes baru yang berkilat yang menjadi isu masalah kewangannya tetapi tiada apa-apa di dalam peti sejuknya.

“Selepas dua minggu saya menghubungi Maxwell dan mengadu menghadapi masalah, dia berkata ‘OK’ kerana Maxwell adalah lelaki terbaik di dunia. Saya maksudkan jika anda fikirkan patung beruang, anda ada Maxwell.

“Saya menghubunginya dan berkata ‘Dengar sini, saya tidak mempunyai makanan di rumah, saya perlukan bantuan,’ dan dia berkata ‘Datanglah ke rumah saya’.

“Dia memberikan saya tilam untuk tidur. Saya tidur di rumahnya, melepak dengannya, makan dan memandu ke pusat latihan bersama-sama. Saya menerima gaji selepas sebulan dan keadaan semakin mudah bagi saya.”

Sejak dari itu, persahabatan mereka bermula. Maxwell menyifatkan hubungan mereka sebagai ‘kuat, indah dan setia’. Biarpun reputasi dan ego rakannya semakin tinggi, Maxwell menegaskan Ibrahimovic di depan kamera berbeza dengan Zlatan yang dikenalinya.

“Imejnya tidak sama langsung dengan kenyataan,” kata pemain Brazil itu.

“Karakter kami berbeza namun dia seorang yang ringkas dengan naluri kekeluargaan dan tidak suka berpura-pura, seperti saya. Seperti dirinya saya bencikan seorang yang palsu dan berpura-pura.”

Ibrahimovic sementara itu menyifatkan Maxwell seorang yang ‘amat sensitif, seorang yang cintakan keluarga dan sering menghubungi keluarga setiap masa’ dan malah mempersoalkan bagaimana dia mempunyai karier yang bagus.

“Ada kalanya saya terkejut bagaimana dia boleh menjadi begitu bagus. Pemain baik sepertinya biasanya kurang berjaya dalam bola sepak.”

Peluang kedua-dua pemain yang kini berusia 34 tahun untuk menambah trofi selepas 10 gelaran bersama-sama mungkin sukar apabila Ibrahimovic bakal menamatkan kontraknya musim panas ini dan mungkin menyertai Liga Perdana Inggeris.

Namun usah dinafikan lebih banyak kejayaan daripada kedua-duanya. Maxwell juga tamat kontrak musim panas ini dan mengakui bersedia untuk meninggalkan Paris. Ia bukan sesuatu yang mengejutkan jika kedua-duanya akan tiba bersama di England tidak lama lagi.

“Ia bermula dengannya sebagai seorang rakan dan kini dia bagaikan abang saya,” kata Maxwell.

“Persahabatan kami bermula sewaktu kami masih bujang tetapi kini berterusan dengan keluarga kami di mana ahli keluarga juga bersahabat. Jadi ia sebuah persahabatan yang akan terus kekal selepas tamat karier bola sepak.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 12:47 PM