IBRAHIMOVIC ketika majlis perasmian tugunya di Malmo, bulan lalu. — FOTO Reuters
IBRAHIMOVIC ketika majlis perasmian tugunya di Malmo, bulan lalu. — FOTO Reuters
Reuters

PENYOKONG di Malmo yang berang dengan pengumuman penyerang Zlatan Ibrahimovic membeli saham kelab Stockholm, Hammarby merosakkan patung pemain itu di luar Stadium Malmo, awal pagi tadi.

Terdahulu dimaklumkan Ibrahimovic, 38, penjaring terbanyak Sweden dengan 62 gol dalam 116 perlawanan, meraih 25 peratus daripada saham Hammarby, yang menduduki tangga ketiga liga kejuaraan Sweden tahun ini.

Mengumumkan perkara itu, Ibrahimovic menyatakan dia berhasrat menjadikan Hammarby kelab terbesar di Scandinavia, sekali gus mencetus kemarahan bekas penyokongnya di Malmo FF, yang mana dia mencipta nama sebelum karier gemilang di Belanda, Itali, Sepanyol, England, Perancis dan Amerika Syarikat.

Tugu dengan ketinggian 3.5 meter itu dirasmikan pada 8 Oktober lalu dengan Ibrahimovic sendiri hadir, dihujani dengan suar dan bunga api manakala mesej perkauman ditulis dengan cat di sekitarnya, lapor media tempatan.

“Beberapa orang dikatakan merosakkan patung itu dan menyemburnya dengan cat,” kata jurucakap polis, Jimmy Morin kepada stesen penyiar SVC, menambah siasatan terhadap perbuatan laku musnah itu dibuka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 1:43 PM