MAJLIS pelancaran portal MATTA. FOTO Asmah Rusman
MAJLIS pelancaran portal MATTA. FOTO Asmah Rusman
Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) hari ini melancarkan portal pelancongan dalam talian berdaftar, www.matta.travel yang menyediakan pelbagai pakej pelancongan domestik dan luar negara.

Presidennya, Datuk Hamzah Rahmat berkata, melalui portal berkenaan agensi pelancongan bukan sahaja berpeluang mencari pelanggan tempatan sebaliknya mampu menarik lebih ramai pelancongan asing di seluruh dunia.

"Lebih penting, mereka yang menempah pakej melalui portal ini diberi jaminan daripada segi wang ringgit, insurans dan kepuasan berganda selain dapat mengelak berlakunya penipuan kerana setiap agensi di sini berdaftar.

"Oleh itu mereka tidak perlu bimbang kerana sebarang masalah atau penipuan boleh dirujuk kepada MATTA, malah mereka juga boleh menyemak sendiri lesen agensi terbabit melalui portal ini," katanya.

Katanya, MATTA turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai jaminan keselamatan pelanggan.

Majlis pelancaran portal itu disempurnakan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 8:04 PM