IDRIS bersalaman dengan perwakilan yang hadir sebelum merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak Pas. FOTO Fathil Asri
IDRIS bersalaman dengan perwakilan yang hadir sebelum merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak Pas. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Pasir Puteh: PAS kesal dengan tuduhan dilemparkan pihak tertentu terhadap Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa menerima wang sumbangan 1MDB sebanyak RM30 juta.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, tuduhan itu tidak berasas dan mahu pihak melemparkan fitnah itu supaya mengemukakan bukti.

Katanya, PAS sedia untuk disiasat oleh pihak berkenaan dan tidak teragak-agak untuk menyaman sekiranya ia masih berterusan kerana ia menjejaskan nama baik pemimpin parti.

"Kita minta mereka kemukakan bukti secara bertulis dan jangan terus buat tuduhan berat," katanya dalam ucapan Perasmian Muktamar Dewan Ulama Pas ke-55, di Tok Bali, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Idris dalam ucapannya menyifatkan gerakan kumpulan itu seperti mereka yang mabuk 'todi' dan hanya membuat tuduhan di kedai kopi.

"Ia menjejaskan nama baik PAS kerana orang bukan Islam mudah percaya dengan tuduhan terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 10:48 AM