Subang Jaya: Nippon Paint (Malaysia) Sdn Bhd (Nippon Paint) merancang untuk meluaskan penganjuran Anugerah Pereka Muda Nippon Paint (NPYDA) kepada 17 negara pada tahun depan berbanding 10 negara ketika ini memandangkan jenama cat itu menerokai 17 pasaran negara di rantau Asia Pasifik.

Pengarah Urusannya, Yaw Seng Heng berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan lagi daya saing peserta dan anugerah terbabit pada masa akan datang di samping tahap kecemerlangan rekaan dalam kalangan bakat muda terutama daripada aspek seni bina dan reka bentuk dalaman.

“Kami yakin kedudukan jenama ini selaku pengeluar cat terkemuka dengan keuntungan paling tinggi di Asia dan keempat tertinggi di dunia memudahkan hasrat kami untuk terus meluaskan liputan acara ini sekali gus memastikan tahap kualiti rekaan inovatif terus bercambah,” katanya pada sidang media bersempena NPYDA 2014, di sini.

NPYDA 2014 anugerah diadakan untuk kali ketujuh sejak mula dilancarkan pada 2008 apabila kali ini menerima 623 penyertaan dari Malaysia dengan 528 (seni bina) dan 95 (reka bentuk dalaman) di samping Vietnam, Thailand, Singapura, Indonesia, Pakistan, China, Jepun dan yang terbaru, Hong Kong serta Filipina.

Acara dianjurkan melalui kerjasama pertama kali daripada pemaju hartanah negara iaitu IJM Land Berhad (IJM Land) menyaksikan Wong Kail Li dari Universiti Putra Malaysia dan Lim Yong An (Kolej Antarabangsa KBU) menjadi pemenang Emas bagi kategori seni bina dan reka bentuk dalaman untuk NPYDA Malaysia.

Kedua-dua pemenang menerima hadiah wang tunai bernilai RM3,000 setiap orang, program pembelajaran di Jepun dan turut berpeluang mengikuti program amali berbayar selama enam bulan ditawarkan IJM Land.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:02 AM