TAN (kanan) dan Ong (kiri) bersama juri dan penganjur pertandingan.
TAN (kanan) dan Ong (kiri) bersama juri dan penganjur pertandingan.

Basyar Mustapha kagum dengan idea dan kreativiti bakat muda negara yang menyerlah pada pertandingan inovasi, baru-baru ini.

“Hati saya sentiasa dekat dengan masyarakat dan alam semula jadi di kampung halaman di Pontian Kechil, Johor. Tempat tanah tumpah darah itulah yang memberi inspirasi untuk mereka pelan taman rekreasi istimewa ini,” kata pemenang utama kategori seni bina Nippont Paint Young Designer Award 2015 (NPYDA), Tan Kwong Chong.

Rekaan seni bina taman rekreasi oleh pelajar Universiti Teknologi Malaysia berusia 24 tahun itu mencuri hati juri kerana bukan saja rekaan bangunan dan kemudahannya yang menarik, namun mempunyai fungsi yang memberi kesan mampan kepada masyarakat sekeliling dan alam sekitar.

Taman rekreasi ciptaan Tan satu pelan taman yang dibina berdasarkan misi untuk mengekalkan keindahan alam sekitar.

Ia ingin dicapai melalui pelan kawasan pembinaan, teknologi hijau dalam penjanaan kuasa melalui tenaga solar dan ciri mengekalkan ekologi kawasan sekitar.

“Dalam visi saya, kawasan rekreasi terbaik adalah yang boleh menjadi tempat mengeratkan hubungan sesama anggota masyarakat, malah mempunyai elemen yang dapat menjaga alam sekitar semula jadi indah milik komuniti itu.

“Saya juga berharap pusat pembelajaran ekologi di dalam taman ini boleh meningkatkan kesedaran kepada komuniti luar bandar dan masyarakat umum khasnya dalam penjagaan landskap semula jadi kampung nelayan yang indah ini,” kata Tan yang juga pelajar tahun akhir dalam jurusan seni bina.

Tema NPYDA tahun ini iaitu Rekaan Dari Hati bukan saja menjadi panduan, malah memberi inspirasi kepada pemenang kategori reka bentuk dalaman, Ong Kian Gee, 22, dari Kuala Lumpur.

Rekaannya yang ingin mengubah sebuah stesen kereta api terbiar kepada sebuah pusat berteduh untuk gelandangan dilihat satu idea mulia yang dikuatkan lagi dengan rekaan dan kemudahan menarik, sekali gus mengangkatnya sebagai juara kategori berkenaan.

“Setiap orang termasuklah yang kurang bernasib baik seperti orang gelandangan berhak untuk mendapat keselesaan, sebuah tempat yang boleh mereka jadikan tempat berteduh

“Pusat berteduh untuk gelandangan ini menggabungkan rekaan dalaman dengan konsep hijau seperti penggunaan barangan kitar semula dan elemen yang boleh mengurangkan penggunaan sumber dan tenaga,” katanya.

Menurut pelajar Malaysian Institute of Art itu, pelan berkenaan mempunyai empat komponen iaitu pengurusan, penjagaan diri, latihan kemahiran hidup dan tempat tinggal dibuat untuk memberi peluang kepada gelandangan terus berdikari tanpa bergantung kepada ihsan orang lain selamanya.

Malah, rekaan bangunan sedia ada yang dibaik pulih menggunakan teknologi yang berupaya menjana kuasa daripada elemen alam semula jadi seperti air hujan dan penjimatan melalui amalan mengitar semula.

Tan dan Ong masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai, trofi juga sijil dan akan mewakili negara dalam program khas di peringkat antarabangsa yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, tahun depan.

Bukan itu saja, mereka juga akan diambil sebagai pelatih selama enam bulan di IJM Land Berhad yang menjadi rakan kerjasama NPYDA.

Pengurus Besar Kumpulan Nippont Paint Malaysia Group, Gladys Goh berkata, jenama cat terkemuka itu ingin menekankan kepentingan kepada bakat muda supaya membina kemudahan dan keperluan untuk masyarakat yang lebih mampan dan seiring dengan keperluan hari ini.

“Kita kini hidup dalam satu era yang lebih kompleks di mana ia bukan sahaja mengenai rupa dan reka bentuk, malah satu tempat yang mempunyai fungsi berguna dan cekap dalam waktu semasa juga jangka masa panjang.

“Nippon Paint percaya pada bakat anak muda dan terbukti mereka sememangnya menyerlah dengan idea masing-masing dan itulah yang menjadi tujuan utama wujudnya anugerah NPYDA ini iaitu satu platform untuk mereka menyampaikan idea bernas dan untuk kami mengembangkan bakat mereka,” katanya.

Pengarah Urusan IJM Land Berhad, Edward Chong Sin Kiat berkata, beliau kagum dengan kebolehan dan kualiti kerja dihasilkan daripada semua peserta NPYDA.

“Telah menjadi komitmen IJM Land untuk memberi sokongan kepada bakat pemimpin muda yang bakal menerajui bidang masing-masing pada masa hadapan.

“Inilah satu peluang baik untuk anak muda ­menunjukkan bakat dan inovasi mereka dan kami berbesar hati untuk memberi peluang dan membimbing mereka,” katanya

Chong turut memberitahu, pemenang tahun lalu juga kini menjadi keluarga IJM Land yang percaya de­ngan bakat mereka tunjukkan ketika latihan industri.

Salah seorang juri, arkitek Jasmeet Singh Sidhu berkata, pemenang diambil kira daripada inovasi kreatif mereka, juga kebolehan mereka untuk menyampaikan visi mereka.

“Memang ramai anak muda yang mempunyai idea kreatif, namun ia perlulah disampaikan dengan betul supaya dapat difahami individu lain.

“Penyampaian dan pembentangan mengenai idea kita penting supaya orang ramai dapat diyakinkan dan percaya pada idea kita itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 1:44 PM