REKA bentuk bonet belakang yang aerodinamik.
REKA bentuk bonet belakang yang aerodinamik.
RUANG kokpit yang padat dan kemas.
RUANG kokpit yang padat dan kemas.
SUIS kawalan audio di bahagian stereng.
SUIS kawalan audio di bahagian stereng.
REKA bentuk luaran Civic baru lebih lebar.
REKA bentuk luaran Civic baru lebih lebar.

Kehadiran generasi ke-10 Honda Civic yang bakal diperkenalkan pada suku kedua tahun ini sememangnya dinantikan peminat berikutan reputasi cemerlangnya.

Tidak dinafikan penampilan Civic yang dipamerkan Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) menerusi My Auto Fest 2016 di Pusat Pameran Antarabangsa dan Konvensyen Mines (MIECC) baru-baru ini memukau peminat yang datang untuk melihatnya secara dekat.

Ia mukadimah Honda Malaysia untuk peminat supaya membuat tempahan awal menjelang pelancarannya ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Honda Civic begitu sinonim dengan jenama Honda di Malaysia yang menampilkan keseronokan pemanduan buat pemiliknya selain reka bentuk sporty. Sejak diperkenalkan oleh Honda Malaysia pada 2001, sebanyak 81,013 unit model Honda Civic dijual sehingga Mac 2016.

Honda menyasarkan jentera terbaru yang bakal menjengah pasaran tempatan itu mampu memberi saingan kepada model lain dalam segmennya kerana ia sudah dipertingkatkan dan dilengkapi teknologi terkini dalam aspek pemanduan.

Tidak dinafikan, sejak generasi pertama Civic diperkenalkan pada 1972, model berkenaan mendapat sambutan menggalakkan di peringkat global.

Sesi pandu uji jentera berkenaan di Chiang Mai, Thailand, baru-baru ini memberi peluang kepada penulis menguji sepenuhnya Honda Civic berwajah baru ini.

Secara umum, jentera terbaru itu menerima sentuhan kejuruteraan terkini yang mampu memberikan kepuasan pemanduan malah reka bentuk luarannya tampil lebih besar dan aerodinamik seakan gabungan antara sebuah sedan dan coupe apabila mengambil kira reputasi serta karakter asalnya.

Civic 2016 bagi negara ini bakal ditawarkan dengan dua varian enjin iaitu enjin 1.5L VTEC pengecas turbo dengan teknologi Earth Dream dan enjin 1.8L i-VTEC dipadankan dengan rim aloi 16 inci.

Kombinasi prestasi dan keselesaan pemanduan menjadikan jentera ini seronok dipandu terutamanya ketika melayan laluan berselekoh menuju air terjun Wachirathan salah satu destinasi menarik di Chiang Mai.

Penampilan jentera Civic 2016 dari aspek reka bentuk yang moden ini lebih panjang dan lebar malah lebih rendah berbanding generasi sebelumnya.

Garis tubuh reka bentuk luaran jentera ini menjadikannya cukup garang selain dipadankan dengan lampu utama LED pada varian 1.5 Turbo RS. Model 1.5 Turbo yang berprestasi dipadankan dengan gril hitam serta tambahan aksesori spoiler belakang.

Kedua-dua model itu dipadankan dengan transmisi CVT yang dipertingkatkan berbanding sebelumnya dan memberi kepuasan pemanduan selain penggunaan bahan api lebih cekap.

Honda Civic terbaru ini akan dilengkapi dengan enam beg udara. Ia juga dilengkapi tempat duduk pemandu pelarasan elektronik, brek parkir elektronik, penghidup enjin kawalan jauh dan kunci automatik.

Untuk ciri keselamatan lain, ia dipadankan dengan sistem Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA), Emergency Stop Signal (ESS) dan ciri kerusi kanak-kanak ISOFIX.

Enjin 1.5L VTEC pengecas turbo pula memiliki kemampuan hamburan kuasa 172 hp dan 220Nm sementara 1.8L i-VTEC mampu menjana kuasa 139hp dan 174Nm.

Secara keseluruhan, model Honda Civic terbaru ini ternyata satu pertaruhan terbaik Honda untuk mengembalikan kegemilangan jentera berkenaan selain prestasinya yang tidak perlu dipertikaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 5:02 AM