Model ini didatangkan dengan sembilan komponen khas tampil sebagai edisi terhad. FOTO Ihsan Honda Malaysia
Model ini didatangkan dengan sembilan komponen khas tampil sebagai edisi terhad. FOTO Ihsan Honda Malaysia
Mohd Razlan Salleh


HONDA Malaysia memperkenalkan edisi terhad kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak HR-V bersama kemasan bodykit Mugen lebih sporty.

Model itu didatangkan bersama sembilan komponen khas antaranya emblem Mugen, spoiler bawah dan belakang, skirt sisi, pelekat jalur sisi, emblem Mugen pada kotak gear, karpet lantai dan gril baharu.

Edisi terhad ini hanya ditawarkan pada varian V dan hanya 1,020 unit sahaja dikeluarkan untuk pasaran tempatan.

Harga ditawarkan bermula RM118,800 seunit tanpa insurans.

Terdahulu, HR-V adalah model ketiga menerima sentuhan Mugen selepas Civic melalui model Mugen 2.0 Limited Edition pada 2006 dan Concept M bagi Jazz serta Civic pada 2010.

Menurut kenyataan dikeluarkan Honda Malaysia, varian terbaru itu dilancarkan selepas mendapat maklum balas daripada pelanggan setia yang mahukan HR-V kelihatan lebih sporty selain praktikal.

Sejak dilancarkan pada Februari 2015 dan sehingga Januari lalu, HR-V sudah terjual lebih 65,000 unit.

Model SUV kompak berkenaan juga menjadi model kedua terlaris yang menyumbang 17 peratus jualan keseluruhan Honda Malaysia pada tahun lalu.

Model terlaris dalam segmen SUV kompak ini dijana enjin 1.8L i-VTEC SOHC dengan teknologi Earth Dreams Honda.

Selain praktikal dan bergaya, HR-V turut menawarkan penjimatan bahan api terbaik dengan penggunaan kotak gear CVT.

Antara ciri keselamatan ditawarkan bagi model ini termasuk enam beg udara (varian V sahaja), brek parkir elektronik (EPB), bantuan brek automatik (ABH), bantuan kestabilan kenderaan (VSC) dan bantuan mula mendaki (HSA).

Ini menjadikan model terbabit menerima penafaran lima bintang dalam ujian pelanggaran ASEAN-NCAP.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 5:46 PM