Lizam Ridzuan


HONDA Malaysia melancarkan Honda Accord Serba Baharu dan Honda Civic Baharu yang dijangka membantu melonjakkan prestasi jualan Honda Malaysia tahun ini.

Honda Accord Serba Baharu adalah model generasi ke-10 yang juga kenderaan segmen-D premium dengan prestasi enjin menakjubkan.

Antara pembaharuan untuk model ini ialah ia didatangkan dengan rekaan lebih lebar, bumbung sedkit rendah dan hud panjang serta rekaan gril krom, lampu hadapan dan belakang LED serta rim aloi 18 inci Resonator.

Hanya satu pilihan enjin Accord ditawarkan iaitu 1.5 VTEC pengecas turbo menjana kuasa 201PS dan tork 260Nm iaitu yang pertama ditawarkan dengan enjin turbo untuk kenderaan Jepun segmen-D di negara ini.


Untuk pasaran Malaysia Honda Accord Serba Baharu ditawarkan dengan empat pilihan warna serta dua varian yang dijual pada harga bermula RM185,900 (1.5 TC) dan RM195,900 (1.5 TC-P).

Sementara itu, Honda Civic Baharu pula menjadi model Jepun pertama keluaran tempatan dalam segmen-C ditawarkan dengan lapan ciri penuh keselamatan termaju Honda SENSING.

Ia menyerlahkan gaya ‘fastback’ hadir dengan bampar hadapan dengan gril hitam dan ‘spoiler’ belakang baharu dengan padanan rim aloi 18 inci.

Dua pilihan enjin untuk Civic Baharu ditawarkan iaitu 1.5L VTEC Pengecas Turbo yang menghemburkan kuasa maksimum mencecah 173PS dan tork 220Nm serta 1.8L i-VTEC berkuasa 141PS dan tork 174NM yang kedua-duanya mendapat penarafan EEV.

Ia ditawarkan melalui tiga varian pada harga bermula RM113,600 (1.8S), RM129,600 (1.5TC) dan RM139,600 (1.5TC-P).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 3:05 PM
(Dari kiri), Presiden/Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama pada majlis pelancaran Honda Civic dan Accord Serba Baharu.
(Dari kiri), Presiden/Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama pada majlis pelancaran Honda Civic dan Accord Serba Baharu.