Muhammad membaca ucap tama perasmian Sidang Kemuncak Perbankan ke-20, semalam.
Muhammad membaca ucap tama perasmian Sidang Kemuncak Perbankan ke-20, semalam.
myMetro

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) memuktamadkan siasatannya terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) susulan pembayaran kompaun oleh syarikat berkenaan.

Gabenor BNM Datuk Muhammad Ibrahim berkata, bank pusat akan terus bekerjasama berhubung perkara berkaitan 1MDB.

“Saya baca semalam 1MDB membayar kompaun dan ia memuktamadkan siasatan dalam peraturan Bank Negara Malaysia dan undang-undang yang kami tadbir,” katanya pada acara Sidang Kemuncak Perbankan Malaysia Ke-20, di sini, semalam.

1MDB dilaporkan membuat pembayaran penuh bagi kompaun pentadbiran yang dikeluarkan BNM terhadap cabang pelaburan strategik negara itu kerana gagal mematuhi peraturan kewangan tempatan.

Ditanya sama ada BNM akan membuka semula siasatan terhadap 1MDB susulan prosiding jenayah oleh pihak berkuasa Switzerland ke atas BSI Bank Ltd mengenai dakwaan pengubahan wang haram, Muhammad berkata, ada undang-undang lain yang ditadbir pihak berkuasa relevan.

Dalam acara sama, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, tiada mana-mana kakitangan 1MDB yang digaji Kementerian Kewangan.

“Hubungan kita dengan 1MDB setakat ini hanya membabitkan beberapa bon dijamin kerajaan.

“1MDB adalah sebuah syarikat dan kita adalah badan kerajaan. Ada perbezaan antara kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada kakitangan 1MDB akan ditempatkan di kementerian itu.

Semalam, Johari dilaporkan berkata, aset firma pelaburan strategik kerajaan itu akan dipindahkan ke Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menjelang pertengahan Jun ini.

Beliau berkata, 1MDB akan menjadi syarikat tidak aktif untuk menguruskan liabiliti dan bon yang diterbitkannya.

“Ini tidak bermakna kerajaan perlu mengambil (menggaji) kakitangan mereka. Itu bukan cara kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 6:59 AM