Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa kerajaan telah menerima penyelesaian berjumlah RM340.92 juta daripada KPMG yang telah disalurkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Malaysia (Malaysia's Assets Recovery Trust Account).

Penyelesaian ini adalah susulan daripada pengumuman pada 16 September 2021 di mana KPMG bersetuju untuk menyelesaikan saman sivil yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap mereka.

Setakat ini, Akaun Amanah di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara Malaysia itu telah menerima sejumlah RM19.138 bilion berhubung skandal kewangan 1MDB di mana dana ini telah/akan digunakan untuk menyelesaikan hutang tertunggak 1MDB.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sehingga kini, kerajaan telah membayar balik RM13.3 bilion hutang 1MDB.

"Pada 31 Disember 2021, hutang terkumpul 1MDB yang terdiri daripada prinsipal dan kupon/keuntungan untuk bon dan sukuk adalah berjumlah RM38.81 bilion.

"Bagaimanapun, baki semasa Akaun Amanah adalah mencukupi untuk membayar jumlah prinsipal bon untuk tahun ini (2022) sahaja.

"Apabila semua dana Akaun Amanah telah digunakan, kerajaan akan terus menanggung obligasi untuk membayar baki hutang 1MDB, yang penerbitannya disokong oleh Jaminan dan Surat Sokongan

Kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, melangkah ke hadapan, kerajaan kekal komited dalam usaha pemulihan aset 1MDB,

dan akan sentiasa memastikan peruntukan mencukupi untuk menyelesaikan hutang 1MDB bagi menguruskan beban kewangan negara yang diakibatkan oleh entiti ini.

"MOF ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya

Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, Pasukan Polis Diraja Malaysia, Pusat

Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah

Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah atas usaha mereka dalam

mencapai penyelesaian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 5:37 PM