Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: “Buat masa ini, kerajaan tidak akan campur tangan dalam urusan itu,” kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berhubung isu pembayaran antara syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan firma pelaburan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).

Menurutnya, sebarang penyelesaian berkaitan urusan pembayaran itu wajar diuruskan ahli lembaga pengarah 1MDB bersama pihak IPIC.

“Ini hal syarikat, jika mereka mampu bayar, kita tunggu saja mereka bayar....hal syarikat biar syarikat uruskan, biar ahli lembaga pengarah uruskan, bila sampai peringkat syarikat ini tidak dapat uruskan, kita bincangkan mengenainya nanti.

“Kita tidak bantu orang jika orang itu tidak datang kepada kita dan setakat ini... mereka tidak datang ke Kementerian Kewangan, jadi kita tidak akan masuk campur dalam perkara ini buat masa ini,” katanya ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Fokus Bajet 2018: Mengurus Kos Membuat Perniagaan, di sini, semalam.

Kelmarin, 1MDB dilaporkan gagal membuat bayaran RM2.58 bilion kepada IPIC sebagaimana dipersetujui dalam perjanjian penyelesaian mereka pada April lalu.

Difahamkan, 1MDB tidak dapat memenuhi obligasi pembayarannya kerana dana yang sepatutnya diterima pada bulan Julai ditangguhkan hingga Ogos.

Selain itu, dalam satu kenyataan kepada Bursa Saham London kelmarin, IPIC berkata, 1MDB dan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) mempunyai lima hari untuk menyelesaikan kegagalan pembayaran itu.

Johari berkata, komitmen kerajaan buat masa ini sangat mudah iaitu memastikan negara terus maju dan ekonominya berkembang dengan baik.

“Kami akan pastikan ekonomi negara diutamakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Johari berkata, satu sesi dialog khas akan dianjurkan bersama Bank Negara Malaysia (BNM); persatuan majikan dan industri; Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi mencari satu pendekatan holistik mengatasi isu pengambilan pekerja asing di negara ini.

Menurutnya, beliau menerima banyak aduan daripada industri mengenai kesukaran mendapatkan pekerja asing dan isu lain berkaitan.

“Kami bersetuju untuk mencari satu pendekatan holistik mengatasi masalah berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 4:07 AM