NAWAL Yasmin dan suami bersama keluarga yang banyak membantu merealisasikan impian mereka.
NAWAL Yasmin dan suami bersama keluarga yang banyak membantu merealisasikan impian mereka.
NAWAL Yasmin (kanan) melayan pelanggan yang datang.
NAWAL Yasmin (kanan) melayan pelanggan yang datang.
NAWAL Yasmin dan suami pada pelancaran kedai sewa barangan pengantin mereka.
NAWAL Yasmin dan suami pada pelancaran kedai sewa barangan pengantin mereka.
SOKONGAN keluarga cetus idea Nawal Yasmin jadikan konsep perkahwinan DIY satu perniagaan.
SOKONGAN keluarga cetus idea Nawal Yasmin jadikan konsep perkahwinan DIY satu perniagaan.
Faizatul Farlin Farush Khan


Ramai pasangan mengimpikan perkahwinan serba anggun dengan konsep mewah, namun kos tinggi yang terpaksa dikeluarkan membantutkan hasrat mereka hingga akhirnya ada yang ‘mengalah’ dan merancang majlis serba sederhana.

Namun bagi Nawal Yasmin Mat Noh, 29, cabaran itu nyata mencetuskan sisi kreatif dalam dirinya hingga mendorong dia menyiapkan pelamin dan kelengkapan perkahwinan menggunakan konsep ‘melakukannya sendiri’ atau lebih popular dengan akronim DIY.

Malah, keluarga termasuk ibu dan ayahnya, berkongsi idea dan terbang bersama-sama ke China untuk mendapatkan barangan keperluan sesuai dengan tema majlis yang diingini Nawal Yasmin dan suaminya, Muhamad Hilmi Zulkifli, 29 tahun.

Hasil kreativiti pengantin perempuan dan keluarga, pasangan mempelai akhirnya bersanding di atas pelamin DIY mereka pada 14 Mei 2011, dengan kelengkapan majlis yang sesuai dengan konsep tetapi tidak memerlukan belanja besar.

Tidak hanya terhad kepada pelamin, hiasan tangga, gubahan hantaran dan tapak hantaran semuanya adalah hasil DIY dirinya bersama keluarga.

Menurut Pengasas Something Borrowed by Nawal itu, dia bertuah kerana memiliki keluarga yang banyak membantu, terutama ayahnya yang bertukang dan menghasilkan sendiri pelamin.

“Idea DIY timbul ketika saya membuat persiapan perkahwinan. Saya terkejut apabila setiap kelengkapan perkahwinan mengikut konsep yang saya mahukan mencecah harga ratusan ringgit.

“Dulang hantaran saja sudah berharga RM400 dan sekiranya saya tetap mahukan konsep itu, ia akan memakan belanja yang besar. Jadi ia tidak praktikal untuk diteruskan terutama dalam keadaan ekonomi sekarang.

“Oleh itu, selepas perbincangan dengan keluarga, kami akhirnya ke China, membeli kelengkapan perkahwinan dengan konsep sama tetapi pada harga jauh lebih murah,” katanya pada pelancaran kedai sewa barangan pengantin miliknya di Cyberjaya, baru-baru ini.

Ibu kepada dua anak itu berkata, sebaik berkahwin dia kemudian meletakkan jawatan sebagai pakar pembangunan perniagaan di sebuah syarikat swasta untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.

Masa terluang yang ada selain barangan kelengkapan perkahwinannya yang masih baru dan hanya disimpan di rumah, memberi ilham kepadanya untuk memulakan perniagaan berkaitan.

Menyedari ramai pasangan yang berada dalam situasi seperti yang pernah dialaminya, Nawal Yasmin mengambil keputusan menyewakan barangan itu kepada pasangan pengantin yang mahukan konsep mewah tetapi pada harga jauh lebih murah.

Dia tidak sangka, konsep perniagaannya itu mendapat sambutan memberangsangkan, malah ramai bakal pengantin meluahkan kelegaan dan rasa gembira kepadanya kerana menyewakan peralatan perkahwinan itu.

“Melihat sambutan menggalakkan, saya kemudian pergi ke China lagi untuk memperbanyakkan pilihan kelengkapan perkahwinan dengan semuanya membawa konsep mewah dan anggun.

“Warna yang kami tampilkan adalah perak, putih dan emas. Banyak yang dihias dengan batu kristal tetapi setiap satunya disewakan pada harga cukup murah iaitu antara RM6 hingga RM200.

“Ini memberikan bakal pengantin idea bagaimana mereka mahu menyusun atur majlis tetapi tidak perlu sampai berhabisan duit,” katanya yang turut memaparkan ilham perkahwinan di laman Facebook dan Instagram/somethingborrowedbynawal serta www.somethingborrowedbynawal.com.

Menceritakan cabaran dalam menjalankan perniagaan, dia berkata, pada peringkat awalnya ada pelanggan yang tidak memulangkan barangan atau menyebabkan kerosakan.

Namun ia tidak mematahkan semangat, sebaliknya ia mengajarnya pengurusan perniagaan yang lebih baik dan lebih bijak dalam membuat sesuatu keputusan.

Perniagaan semakin berkembang itu menawarkan kira-kira 5,000 barangan dengan 300 jenis kelengkapan perkahwinan mengikut tema pengantin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2016 @ 5:02 AM