EKOSISTEM yang dibina bagi bidang pertumbuhan baharu akan dirancang untuk memacu peningkatan pelaburan sektor swasta bagi jangka masa panjang.
EKOSISTEM yang dibina bagi bidang pertumbuhan baharu akan dirancang untuk memacu peningkatan pelaburan sektor swasta bagi jangka masa panjang.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan melancarkan inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) bagi membantu usaha enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk melaksanakan mandat diperbaharui mereka.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, titik permulaan Perkukuh untuk menyusun semula peranan dan memperbaharui keupayaan GLIC Malaysia dan terdiri daripada 20 inisiatif utama untuk mencapai lima hasil utama.

Beliau berkata, lima hasil utama itu adalah mandat yang lebih jelas bagi setiap GLIC, peningkatan tumpuan terhadap pelaburan untuk pembangunan dan yang menjadi pemangkin untuk memacu pertumbuhan baharu serta meningkatkan kesan sosio-ekonomi dan menyemarakkan lagi pelaburan dalam sektor swasta sambil menyelaraskan peranan kerajaan dan agensinya dalam perniagaan.

Selain itu, ia juga mewujudkan GLIC yang bersiap siaga menghadapi masa hadapan dengan tadbir urus, keupayaan dan strategi terbaik dan memperkukuhkan perlindungan sosial dan ketahanan fiskal.

Muhyiddin berkata, Perkukuh secara asasnya bermula dengan pengiktirafan mandat, struktur pembiayaan dan profil risiko pelbagai GLIC yang terbabit.

"Khususnya, syarikat akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Dana Kekayaan Negara yang merangkumi entiti seperti Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) dan Menteri Kewangan (Diperbadankan).

"(Sementara itu) kategori Pelabur Institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP,) Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah untuk menetapkan mandat, strategi dan pengurusan liabiliti aset GLIC yang terlibat dengan lebih baik dan jelas," katanya dalam ucapan ketika pelancaran Perkukuh yang diadakan secara maya, semalam.

Perdana Menteri berkata, dalam merumuskan Perkukuh, kerajaan memanfaatkan kepakaran dalam ekosistem GLIC, penggubal dan pengawal selia dasar dan peraturan, kementerian serta peneraju industri, termasuk yang terbabit dalam Program Transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang pertama.

"Begitu juga, pelaksanaan Perkukuh akan turut membabitkan rangkaian pihak berkepentingan yang meluas. Sebagai contoh, Suruhanjaya Sekuriti akan menerajui inisiatif 'standard pelaburan lestari' bersama Bank Negara Malaysia," katanya.

Beliau berkata, bersama-sama dengan GLIC, inisiatif ini akan dipacu oleh agensi Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) di bawah Kementerian Kewangan, yang akan bertindak sebagai Pejabat Pengurusan Program.

Muhyiddin berkata, bagi GLIC kategori dana kekayaan negara, akan ada penyeimbangan semula fokus antara pulangan kewangan serta hasil sosioekonomi dan keutamaan utama adalah pelaburan modal berhemah melalui pendekatan yang lebih strategik dan disasarkan ke bidang pertumbuhan baharu.

Menurutnya, ekosistem yang dibina bagi bidang pertumbuhan baharu akan dirancang untuk memacu peningkatan pelaburan sektor swasta bagi jangka panjang.

"Khazanah, misalnya, akan memulakan pembangunan ekosistem pertumbuhan baharu melalui Dana Impak bernilai RM6 bilion. Sememangnya pada saat ini, usaha sedang dipergiatkan untuk memulakan pelaburan bersama dengan beberapa pelabur institusi antarabangsa dan dana kekayaan negara lain," katanya.

Untuk menyemarakkan lagi pelaburan swasta, Perkukuh juga akan memperkemaskan hubungan antara kerajaan dan perniagaan, antara lainnya, melalui penilaian semula syarat pegangan golden shares (saham keutamaan), pentakrifan semula sektor yang dianggap strategik sebelum ini serta mengenal pasti bidang baharu yang mempunyai kepentingan bagi negara.

Ini katanya, akan meningkatkan lagi daya tarikan terhadap GLIC yang berkaitan, sambil membolehkan pengoperasian yang berkesan dalam persekitaran terkawal.

"Sehubungan itu, saya ingin memberi jaminan bahawa evolusi ini akan berjalan secara beransur-ansur, seiring dengan pengukuhan peraturan dan kawalan yang sewajarnya. Saya juga ingin menekankan usaha ini akan dilaksanakan selari dengan amalan antarabangsa terbaik yang mana definisi dan teknik pengendalian aset strategik berkembang melalui masa," katanya.

Muhyiddin berkata, Perkukuh akan membantu GLIC bersiap siaga menghadapi masa hadapan dengan tadbir urus, keupayaan dan strategi terbaik.

Menurutnya, amalan tadbir urus akan menjadi lebih mantap, seperti proses pelantikan kepemimpinan, yang mana beberapa prinsip panduan akan diperkenalkan secara kolektif untuk mengatasi isu-isu bersama, seperti konflik kepentingan dan akauntabiliti.

Bagi rakyat secara umumnya, Perdana Menteri berkata, Perkukuh akan mewujudkan penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi, peningkatan pendapatan isi rumah dan pengurangan ketidaksamarataan.

"Kesejahteraan rakyat akan ditingkatkan melalui program perlindungan sosial yang lebih berkesan dan holistik, yang mana kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan GLIC dan GLC akan mengukuhkan lagi usaha merapatkan sebarang jurang, menjangkaui keperluan asas yang telah disediakan oleh kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 7:15 AM