Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah Buku Negara kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (kanan) pada majlis perasmian Anugerah Buku Negara dan Sesi Temu Anwar di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim. FOTO BERNAMA
Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah Buku Negara kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (kanan) pada majlis perasmian Anugerah Buku Negara dan Sesi Temu Anwar di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu menggembleng tenaga untuk menyokong aspirasi negara menjadi destinasi pelaburan dan hab ekonomi Islam bertaraf dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, GLIC dan GLC juga harus melonjakkan pelaburan dalam sektor digital dan tenaga boleh baharu, serta menggalakkan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melebarkan pasaran ke negara serantau seperti yang ditetapkan dalam aspirasi negara.

"Semalam, saya mempengerusikan mesyuarat dengan ketua-ketua pegawai eksekutif GLIC. Perbincangan ini adalah mukadimah kepada reformasi GLIC dan GLC supaya mereka lebih tertumpu kepada pembangunan serta kesejahteraan rakyat seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat.

"Saya menerima baik cadangan ketua-ketua pegawai eksekutif GLIC untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kemajuan ekonomi tempatan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, pada Jumaat.

Beliau berkata, antara cadangan yang dikemukakan adalah menambah baik perbelanjaan daripada kutipan zakat korporat, menjalinkan usaha sama dengan sektor swasta bagi membangunkan penginapan pelajar serta menggembleng lebih dana untuk pelaburan dalam syarikat tidak tersenarai bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau turut memberi mandat kepada GLIC untuk meningkatkan pelaburan langsung domestik masing-masing kerana GLIC mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pendapatan rakyat terbanyak, katanya.

Anwar berkata, dengan jumlah saiz aset di bawah pengurusan bernilai RM1.84 trilion, iaitu hampir sama dengan saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Malaysia pada tahun ini, GLIC berupaya menggerakkan dan melonjakkan ekonomi Malaysia ke depan.

"Bagi memastikan misi-misi ini tercapai, kerajaan akan terus mengadakan mesyuarat berkala yang akan dipengerusikan oleh saya atau Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk memantau pencapaian dan kemajuan inisiatif yang diterajui oleh GLIC.

"Insya-Allah, dengan pendekatan ini, Malaysia akan melangkah lebih cepat ke arah kemajuan yang mampan dan saksama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 2:21 PM