Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - FOTO BERNAMA
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - FOTO BERNAMA
Sri Ayu Kartika Amri dan Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Ekosistem Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) akan terus menjadi antara elemen terpenting bagi merealisasikan visi Malaysia.

Menteri Kewangan (MOF), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, melihat kepada saiz dan pengaruh ekosistem ini dalam pembangunan sosio-ekonomi negara, sememangnya mustahak bagi GLIC dan GLC untuk terus distruktur dan ditambah baik.

Katanya, dalam perkara ini, kerajaan kini giat berusaha untuk menajamkan lagi fokus GLIC, terutamanya dalam menceburi industri baru seperti yang berteraskan Revolusi Industri 4.0.

"Selain itu, program Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC (GDRN), sebagai platform yang menyelaraskan kesemua bantuan kemanusiaan semasa bencana oleh GLIC dan GLC, adalah antara contoh bagaimana GLIC dan GLC mengoptimumkan sumber terkumpul bagi memanfaatkan lebih ramai benefisiari, terutamanya dalam kalangan B40 dan golongan tumpuan tertentu.

"Untuk makluman, pada 2004, kerajaan pernah menyusun semula dan mentransformasikan ekosistem GLC dengan menstruktur semula mandat, tadbir urus, keupayaan dan keberkesanan lembaga pengarah dalam menjana GLC yang berprestasi tinggi.

"Berikutan itu, Program Transformasi GLC telah dilancarkan bagi lima GLIC dan 20 GLC terpilih.

"Secara keseluruhannya, dalam masa 10 tahun, program ini berjaya meningkatkan permodalan pasaran bagi 20 GLC terbabit sebanyak 2.9 kali kepada RM386 bilion, meningkatkan hasil bersih mereka kepada RM26.2 bilion setahun serta meningkatkan jumlah pulangan pemegang saham, kepada 11.1 peratus setahun," katanya pada ucapan di Majlis Pelancaran Hari Terbuka GLC 2022, di sini, hari ini.

Hadir merasmikan, Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Ismail Sabri Yaacob.

Hari Terbuka GLC 2022 dianjurkan bagi meraikan usaha keseluruhan GLC dan GLIC, terutamanya dalam membina semula kehidupan di pasca pandemik Covid-19.

Zafrul berkata, pandemik Covid-19 telah mengubah hidup dan cara beroperasi secara keseluruhan, sama ada di peringkat individu mahupun perniagaan.

Beliau berkata, ia juga menyerlahkan pelbagai kelemahan yang sudah lama bertapak dalam struktur sosio-ekonomi negara.

"Sehubungan itu, dalam usaha kita untuk terus menambahbaik ekosistem GLC ini, kita juga harus mengambil kesempatan untuk memperkasakan GLIC dan GLC bagi membantu kerajaan menangani isu struktur terbabit.

"Insya-Allah, dengan pendekatan ini, kita bukan sahaja akan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara, tetapi juga mampu membina sebuah ekonomi yang berdaya tahan dan lestari.

"Usaha menambah baik ini juga akan dilaksanakan oleh GLC tersenarai melalui program transformasi syarikat tersenarai awam (PLC) yang saya lancarkan pada 2 Mac baru-baru ini.

"Diterajui Bursa Malaysia, program ini membabitkan terbitan lima buku panduan untuk mendorong syarikat senarai awam di Malaysia ke arah prestasi tinggi bukan sahaja untuk pemegang saham mereka, tetapi juga pihak berkepentingan lain.

"Dalam jangka masa panjang, program ini dijangka menghasilkan syarikat senarai awam yang berdaya maju, berdaya saing, serta selaras dengan perkembangan terkini dunia dan permintaan dari pelabur," katanya.

Menurutnya, melangkah ke hadapan, MOF yakin ekosistem GLC yang diperkasa dan ditambahbaik akan turut menyumbang kepada objektif MOF untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara di masa hadapan.

Tambahnya, ekosistem GLC adalah antara elemen terpenting dalam pembangunan sosio-ekonomi negara dan pihaknya berharap agar Hari Terbuka GLC 2022 dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendekatkan lagi masyarakat dengan ekosistem ini, terutamanya dalam membina semula kehidupan pasca pandemik Covid-19.

Hari Terbuka GLC 2022 hari ini hingga Ahad menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan biasiswa kepada rakyat Malaysia selari dengan usaha kerajaan membangunkan sosio-ekonomi negara.

Program yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu disertai kira-kira 20 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) terkemuka negara.

Antara yang mengambil bahagian adalah Khazanah Nasional Bhd, Permodalan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan, Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Bertemakan Aspirasi Masyarakat Inspirasi Negara #KeluargaMalaysia, Hari Terbuka GLC menggariskan lima fokus utama iaitu rakyat, perniagaan, ekonomi, kesihatan awam dan agenda Bumiputera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 4:28 PM