MOHD Sheriff.
MOHD Sheriff.
Mahanum Abdul Aziz dan Che Wan Badrul Alias dan Hazwan Faisal Mohamad


KHAZANAH Nasional Bhd bukan institusi Bumiputera tetapi ia adalah institusi nasional, kata bekas Pengarah Urusannya, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim.

Beliau berkata demikian bagi memberi penjelasan mengenai peranan Khazanah dari kaca mata sebagai bekas Pengarah Urusan pertama sayap pelaburan kerajaan Malaysia itu.

Mohd Sheriff berkata, sebagai institusi nasional, Khazanah memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pembangunan ekonomi negara ini.

“Khazanah berperanan sebagai dana pelaburan nasional. Selain berperanan dalam pelaburan strategik, ia juga berperanan sebagai pemangkin,” katanya pada Forum CEO 2019 yang dianjurkan oleh Yayasan Kepimpinan Perdana di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan pula menjelaskan hanya Khazanah dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) adalah benar-benar syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kerana kedua-dua institusi itu menguruskan dana kerajaan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula, katanya tidak sepatutnya dikategorikan sebagai GLIC kerana dana yang diuruskan dana persaraan itu adalah dana yang dicarum ahlinya.

Beliau juga menegaskan bukan semua syarikat pelaburan Khazanah atau KWAP boleh dikategorikan sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ia berikutan, sesetengahnya adalah untuk tujuan pelaburan semata-mata bagi mendapatkan pulangan dan bukan mempunyai peranan strategik atau membabitkan dasar kerajaan tertentu.

“Kami tidak mengkategorikan syarikat pegangan kami seperti IHH, CIMB dan Axiata sebagai GLC kerana ia terbabit dalam industri yang dipacu pasaran dan terbuka kepada persaingan.

“Sementara itu, kami melihat peranan GLC dalam Khazanah secara asasnya adalah dalam industri dikawal selia seperti Telekom Malaysia Bhd (TM), Tenaga Nasional Bhd (TNB), PLUS dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang menggunakan pertumbuhan kawal selia dan pemilikan bagi memacu pendapatan seimbang untuk negara serta menjana pulangan ke atas aset,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 5:50 PM