AHMAD Fazrul pamer tunggangan mantap.
AHMAD Fazrul pamer tunggangan mantap.

Kangar: Ahmad Fazrul Sham meraih gelaran hatrik pertamanya dalam karier perlumbaan CP130 setelah muncul juara pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis, semalam.

Selepas aksi kurang konsisten sepanjang beberapa musim lepas, pelumba Yamalube AHM itu memperaga aksi terbaik meraih kemenangan ketiga selepas pusingan keempat di Terengganu dan kelima di Melaka apabila menamatkan 18 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 14’15.696s menewaskan pelumba PETRONAS Yamaha-CKJ, Ahmad Afif Amran di tempat kedua.

Afif bagaimanapun harus diberi pujian setelah mempamerkan semangat juang tinggi apabila masih berupaya meneruskan perlumbaan dan mengekalkan kedudukan di kedudukan kedua sekalipun dua kali terjatuh sepanjang perlumbaan dan menamatkan perlumbaan dengan masa 14’20.048s.

Sementara juara musim 2014, Mohd Zaqhwan Zaidi yang kembali beraksi bermula pusingan kelima di Melaka menduduki tempat, 14’20.422s.

“Berlumba dalam keadaan hujan seperti hari ini, apa sahaja boleh berlaku,” kata Fazrul mengulas tentang perlumbaan.

“Saya sendiri kurang yakin untuk menang meskipun bermula dari petak ketiga. Cuma setelah mendahului kedudukan apabila pendahulu, Mohd Fitri Ashraf Razali terjatuh dan kemudian berjaya memintas Afif memberi sedikit keyakinan untuk mengekalkan kedudukan sehingga ke garisan penamat,” katanya.

Dalam kategori CP115, kepantasan Kasma Daniel Kasmayuddin sukar untuk dikejar apabila berjaya meraih kemenangan keempat berturut-turut musim ini.

Pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor itu mencatat masa keseluruhan 11’57.770s malah pelumba muda berusia 15 tahun itu turut mencatat masa terpantas dalam semua sesi latihan minggu ini.

Tempat kedua dimenangi Ahmad Syukran Aizat (PETRONAS Yamaha-CKJ) 12’03.520s dan ketiga Mohd Iqbal Amri Malek (FELDA PB Racing) ketiga 12’06.504s.

Sementara itu, Harith Farhan Baharin terus mempamerkan kehebatannya apabila meraih kemenangan kelima berturut-turut sekaligus terus unggul di tangga teratas dalam senarai keseluruhan pelumba Wira.

Pelumba Kozi Yam Honda Racing itu menamatkan 12 pusingan dengan masa 9’27.114s menewaskan Saiful Izman Ahmad Zamani (FELDA AFB Tech Cardinals Racing) kedua 9’30.168s dan Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Espada William Racing) ketiga, 9’31.944s.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 11:39 AM