MONA Rohayu (duduk tiga dari kiri) bersama pensyarah dan pelajar Sijil Fesyen dan Pakaian di KKGP.
MONA Rohayu (duduk tiga dari kiri) bersama pensyarah dan pelajar Sijil Fesyen dan Pakaian di KKGP.

Cuaca panas daripada fenomena El Nino yang melanda negara memberi inspirasi kepada 14 pelajar Sijil Fesyen dan Pakaian Kolej Komuniti Gerik, Perak (KKGP) merealisasikan rekaan bertema unggas.

Tema ini menggambarkan spesies unggas yang hidup bebas di hutan tanpa menerima kesan perubahan iklim luar biasa apabila semua fesyen spesies itu direka dalam bentuk longgar dan mudah diserapi udara hingga tidak merimaskan si pemakai.

Antara rekaan unggas itu ialah spesies burung kakak tua, burung merak, burung murai serta kumbang, belalang dan rama-rama yang mempunyai keistimewaan tersendiri apabila dihiasi manik yang menampakkan lebih kontemporari dan anggun.

Semua pereka adalah pelajar Semester 4 KKGP yang diselia Ketua Program Sijil Fesyen dan Pakaian kolej itu, Mona Rohayu Abdul Karim bagi menghasilkan rekaan fesyen bertaraf profesional.

Mona Rohayu berkata, tema unggas antara modul yang perlu diikuti pelajar Sijil Fesyen dan Pakaian untuk penilaian akhir sebelum keluar sebagai pereka fesyen serba boleh.

“Namun, pemerhatian saya mendapati dalam tempoh 16 bulan atau dalam semester 3 pelajar sudah boleh menguasainya dan ada yang cekap mereka cipta pelbagai fesyen menarik dan kontemporari.

“Memang matlamat kami mahu membuktikan pereka fesyen keluaran Kolej Komuniti setaraf dengan kursus pereka fesyen di kolej tersohor di negara ini dan mampu untuk dikomersialkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah KKGP, Yusop Paal berkata, pihaknya sentiasa memberi galakan kepada pereka fesyen muda berusia sekitar 19 tahun yang berbakat dan memiliki kemahiran tersendiri mereka cipta fesyen.

“Menariknya, idea dan aktiviti peserta bersifat kontemporari dan sesuai dengan iklim semasa. Ia harus menjadi contoh kepada pereka lain dan peragaan hasil rekaan mereka memuaskan pensyarah yang menilai.

“Ini membuktikan tunjuk ajar dan bimbingan mencabar kreativiti mereka sehingga mampu disempurnakan apabila rekaan mereka ada kelainan dan kelas tersendiri,” katanya.

Aini Najwa Mohd Ayob, 19, berkata, dia memperoleh pendedahan dan kemahiran berkaitan bidang fesyen daripada pensyarah di KKGP dan bantuan rakan lain yang sentiasa komited terhadap tanggungjawab itu.

“Selama 4 bulan mengikuti kursus di KKGP saya dapat menguasainya meskipun pada awalnya kosong tanpa mengetahui bidang rekaan fesyen. Moga akan tercapai hasrat menjadi usahawan di bidang ini nanti.

“Pengalaman mengikuti peragaan fesyen di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan perkongsian ilmu bersama pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat tahun lalu meyakinkan saya apabila menyertai beberapa pertunjukan dalam peragaan fesyen,” katanya.

Bagi Nurfatihah Azmin, 19, sentuhan tema belalang dipilihnya memberi kepuasan terutama apabila mendapat pujian pensyarah meskipun tema unggas berkenaan julung kali rekaannya.

“Sebelum ini, saya hanya suka melihat aneka fesyen digayakan tapi kini saya bersedia mereka pelbagai fesyen termasuk kontemporari tapi menutup aurat,” katanya.- J Dolasoh

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 5:01 AM