Platform jualan dalam talian meluas bagi barisan barangan mewah baru dan terpakai, Reebonz kini menjalin kerjasama dengan pereka fesyen tempatan, Hayden Koh bagi menghasil­kan koleksi fesyen mewah yang mudah diperoleh. Koleksi terbabit menggabungkan rekaan ringkas pereka ini khusus bagi wanita muda, kotemporari dan penuh keyakinan.

Kerjasama ini bakal menghasilkan dua skaf kontemporari edisi terhad rekaan Hayden diilhamkan daripada alam semula jadi dan direka lukis dengan cetakan halus. Ini dapat dilihat melalui gabungan fabrik dan tekstur yang dihasilkannya daripada ilham penyesuaian bunga-bungaan terhadap alam sekitar.

Menurut Pengurus Kanan Pemasaran Global Reebonz Sharanjit Kaur, kerjasama terkini Reebonz dengan Hayden contoh terbaik syarikat dalam menyediakan ekosistem mewah sebagai platform untuk membolehkan lebih ramai pereka fesyen tempatan yang meningkat naik mendapatkan pendedahan dan akses kepada lebih ramai pengguna yang menghargai kemewahan.

“Dengan platform yang luas ini, Reebonz bukan saja memberi perkhidmatan kepada komuniti mewah, tetapi juga menjadi saluran untuk melonjakkan kerjaya pereka fesyen ini menonjol­kan rekaan mereka.

“Malaysia mempunyai satu kelompok pereka fe­syen berbakat seperti Hayden Koh yang memberikan impak reka cipta penting mengenai makna sebenar menjadi rakyat Malaysia yang menggayakan rekaan selesa, juga mengikut selera semasa,” katanya.

Hayden, graduan Malaysia Institute of Arts dan SML Fashion Academy di Kuala Lumpur mempunyai perjalanan karier memberangsangkan sebaik saja tamat belajar. Bakatnya diberi perhatian pada Minggu Fesyen Malaysia 2014 serta Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2015 - majlis peragaan fesyen yang khususnya menunjukkan bakat baru yang terbaik dalam kalangan pereka tempatan.

“Saya amat berbesar hati dengan kerjasama ini. Ia menandakan satu pencapaian besar bagi pereka fesyen tempatan untuk mendekati komuniti mewah dan membawa label kami ke pasaran mewah,” kata Hayden.

Seiring dengan sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini, Reebonz menghadiahkan skaf edisi terhad Hayden kepada 120 pelanggan yang membuat belian RM3,500 ke atas daripada 9 hingga 27 Januari 2017 serta kupon bernilai RM588 untuk pembelian seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 5:02 AM