Norzamira Che Noh


Shah Alam: Selangor akan melaksanakan larangan sepenuhnya penggunaan beg plastik pada 2025 sekiranya ada bahan gantian yang boleh digunakan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata ia penting agar larangan sepenuhnya beg plastik kelak tidak akan membebankan mana-mana pihak terutamanya pengguna.

"Setakat ini, kita masih mencari bahan gantian yang lebih kurang sama dengan beg plastik.

"Jika kita nak laksana larangan penggunaan beg plastik sepenuhnya, mesti ada bahan gantian.

"Kini, kita dalam kajian untuk memperkenalkan beg terbiodegradasi bagaimanapun, ia masih dalam peringkat perbincangan dan keputusan belum dibuat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Selangor 2023 di sini, hari ini.

Hee berkata, terdapat juga cadangan untuk melaksanakan larangan penggunaan beg plastik sepenuhnya pada dua hari seminggu yang mana ketika ini, beg plastik masih disediakan pada kadar caj 20 sen.

Dalam pada itu, Hee berkata, Selangor merekodkan kutipan berjumlah RM26.4 juta bagi caj beg plastik sehingga Jun lalu.

"Kutipan ini akan digunakan untuk membuat program kesedaran alam sekitar terutama bengkel dan program yang menjurus ke arah alam sekitar seperti menanam pokok bakau; pokok hutan; pokok taman; membersihkan pantai serta sungai.

"Kita juga akan memasang lebih banyak lampu solar termasuk di perkampungan Orang Asli dan sekolah," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan mensasarkan tiada lagi penggunaan beg plastik di semua premis dan sektor perniagaan di seluruh negara pada 2025.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata setakat ini, pelaksanaan dibuat secara berfasa dari premis tetap sebelum beralih secara berperingkat kepada premis perniagaan termasuk warung atau peniaga gerai tepi jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 1:13 PM