BISKUT siap diproses.
BISKUT siap diproses.
PEKERJA memproses produk menggunakan mesin.
PEKERJA memproses produk menggunakan mesin.
ANTARA produk biskut yang dikeluarkan Haliza.
ANTARA produk biskut yang dikeluarkan Haliza.
Mohd Amin Jalil

Pinjaman RM3,000 daripada tabung Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk dijadikan modal memulakan perusahaan membuat biskut pada 2012 membawa tuah kepada Haliza Zainal Abidin apabila dia kini sudah boleh berbangga dengan usaha itu.

Bermula secara kecil-kecilan di rumahnya di Taman Tanjong Gemuk, Port Dickson, wanita berusia 42 tahun itu kini terus mengorak langkah memajukan perniagaan berkenaan.

Dia kini mampu mengeluarkan lima produk biskut berasaskan oat, cip coklat, kacang hazel dan kuih semperit menggunakan jenama Heliz menerusi resipi keluarga menggunakan gula perang 100 peratus.

“Ketika itu saya sukar mendapatkan pinjaman bank kerana tiada yang boleh dijadikan jaminan atau cagaran. Melalui pinjaman AIM, ia memberi harapan kepada saya memulakan perniagaan.

“Pada mulanya, saya melakukannya secara kecil-kecilan dengan memproses secara manual dan mengeluarkan tiga jenis biskut antara 50 hingga 100 bungkus bersaiz 60 gram sehari.

“Ketika itu pasaran hanya membabitkan jiran dan penduduk sekitar Port Dickson. Selepas sambutan memberangsangkan, saya meningkatkan pengeluaran,” katanya ketika ditemui di pusat perniagaannya di Kedai Koperasi Kenderaan & Pengangkutan Port Dickson Berhad (KKPPDB) di Batu 1 Jalan Seremban-Port Dickson, baru-baru ini.

Menurut Haliza, bagi mengembangkan perniagaannya, dia meminjam lagi dengan AIM secara berperingkat sehingga memasuki fasa kelima yang kini sudah mencecah keseluruhan lebih RM20,000.

Katanya, wang itu digunakan untuk membeli beberapa peralatan memproses biskut termasuk ketuhar dan mesin pembungkusan serta menubuhkan syarikat Hazs Dagangan.

“Selepas setahun beroperasi di rumah, saya ditawarkan premis perniagaan oleh koperasi berkenaan sebelum berpindah ke bangunan sekarang.

“Peluang itu saya gunakan untuk membesarkan perniagaan dengan menambah beberapa lagi peralatan sehingga kini mampu mengeluarkan sehingga 1,000 bungkusan biskut bersaiz 60 gram dan 350 gram sehari yang dijual pada harga antara RM5.50 hingga RM22,” katanya.

Menurut Haliza, dia turut mendapat bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS) ketika mengikuti program promosi di beberapa lokasi termasuk di pusat beli-belah sekitar Negeri Sembilan.

Haliza yang turut mengikuti beberapa kursus keusahawanan anjuran FAMA dan MARA menyasarkan mengeluarkan 4,000 kotak biskut sehari menjelang akhir tahun ini dan berhasrat memasuki pasar raya.

“Saya juga berharap produk ini dapat menembusi pasaran luar negara seperti Singapura, Asia Barat dan Brunei suatu hari nanti. Usaha itu sedang dilakukan dengan kerjasama FAMA dan yakin ia boleh direalisasikan.

“Saya berharap dapat melantik lebih 20 ejen pengedar menjelang Jun atau Julai ini terutama di kawasan pantai timur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 10:51 AM