SITI Maryam berniaga di gerainya di tepi jalan di Batu 4, Jalan Pantai, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
SITI Maryam berniaga di gerainya di tepi jalan di Batu 4, Jalan Pantai, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan tidak menghalang seorang ibu tunggal berniaga kecil-kecilan biarpun pendapatan diperolehi tidak seberapa.

Wanita tabah itu, Siti Maryam Hussain, 51, berkata, dia tidak mahu hanya menunggu bantuan tetapi turut berusaha berniaga pelbagai makanan ringan di tepi jalan di Jalan Pantai Batu 4 di sini.

"Saya mampu memperolehi pendapatan antara RM40 hingga RM150 sehari dengan menjual pelbagai jenis kerepek di tapak kedai dengan kadar sewa RM150 sebulan.

"Bagi saya selagi boleh berusaha, saya cuba sedaya upaya," katanya ibu kepada empat cahaya mata itu," katanya.

Siti Maryam berkata, dia pernah membuat pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dengan kadar bayaran rendah sebagai modal pusingan berniaga.

"Saya tidak berminat hanya menunggu bantuan sampai. Kerana itu saya tetap berusaha walaupun keadaan (perniagaan) sangat teruk berikutan tiada pengunjung datang ker Port Dickson," katanya tadi.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9), Norfadilah Mansor berkata, pihaknya ada menerima permohonan peniaga ibu tunggal ini untuk menambah sedikit modal dan menggantikan payung niaga yang sudah uzur.

"Kami akan berusaha membantu ibu tunggal ini tetapi memerlukan sedikit masa susulan permohonan dari ramai individu yang turut mengharapkan pelbagai bentuk bantuan," katanya yang turut menyumbangkan bantuan awal kepada ibu tunggal terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 8:52 PM