SEBAHAGIAN produk makanan ringan lain yang dipasarkan.
SEBAHAGIAN produk makanan ringan lain yang dipasarkan.
NORAINI menunjukkan sijil kursus yang pernah diikutinya.
NORAINI menunjukkan sijil kursus yang pernah diikutinya.
NORAINI menunjukkan makanan ringan keluaran Hajah Zainab Man.
NORAINI menunjukkan makanan ringan keluaran Hajah Zainab Man.
Mohd Amin Jalil


Sesetengah individu beranggapan mereka yang mengusahakan produk makanan ringan tradisional seperti ubi kayu dan kacang tidak boleh pergi jauh, sedangkan ia sebenarnya mampu menjana pulangan yang lumayan sekiranya seseorang itu memiliki kesungguhan.

Ia dibuktikan Noraini Ahmad, 47, dari Kampung Baru Batu 3, Mambau, Negeri Sembilan apabila beliau muncul sebagai pembekal utama kerepek di dalam negara.

Menurutnya, produk makanan ringan menggunakan nama Hajah Zainab Man iaitu ibu mentuanya yang menjadi pencetus kepada perusahaan berkenaan dan ia dipasarkan menerusi lebih 30 pengedar.

“Pada peringkat permulaan, iaitu pada 10 tahun lalu saya hanya mampu mengeluarkan sekitar 30 hingga 50 kilogram (kg) produk kerepek seminggu membabitkan kacang bersalut, kerepek gunting dan ubi pedas.

“Namun, ketika ini saya berjaya mengeluarkan lebih 2,500kg kerepek sebulan, selain menambah beberapa produk lain iaitu kerepek ubi pedas garing, perasa barbeku, chip istimewa, chip lemak, kerepek bawang dan muruku.

“Bagaimanapun permintaan produk itu meningkat pada Ramadan dan rumah saya ini akan menjadi pusat pengumpulan dan pemasaran produk kampung yang lain,” katanya.

Menurut usahawan yang berasal dari Seri Menanti itu, dia tidak bermula dengan modal yang besar hingga memaksanya membuat pinjaman bank, sebaliknya dibuat secara sedikit demi sedikit.

Beliau kini boleh berbangga kerana kerepek keluarannya turut dipromosikan di luar negara khususnya di Singapura dan Australia.

“Syukur kepada Allah! Perniagaan makin berkembang. Kadangkala saya tidak cukup tangan untuk menyediakan produk kerana ramai membelinya secara pukal untuk berniaga terutama peniaga runcit dan pasar malam,” katanya yang turut memasarkan produk berkenaan di sekolah menengah sekitar Seremban dan Port Dickson.

Katanya, kejayaannya itu bukan mudah diperoleh melainkan dengan kerja keras dan kesungguhan yang tinggi.

Walaupun sudah berjaya, beliau tidak lupa kepada pihak yang menghulurkan bantuan seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) melalui pembiayaan bantuan modal.

“Pada 2014, saya membuat pinjaman dengan AIM sebanyak RM3,000 bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan ia disusuli RM6,000 pada tahun lalu manakala awal tahun ini jumlah pembiayaan ditingkatkan kepada RM10,000.

“Kaedah pinjaman yang mudah dan bayaran tidak membebankan membuatkan saya memilih AIM untuk mendapatkan bantuan modal,” kata ibu kepada empat orang anak berusia 10 hingga 21 tahun itu.

Noraini berkata, agensi lain yang membantu dan memberikan sokongan dalam bentuk peralatan dan khidmat nasihat adalah Lembaga Pertubuhan Peladang, Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Pejabat Daerah Seremban dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan keseluruhan bantuan kira-kira RM19,000.

Menurutnya, agensi berkenaan juga membantu dari segi kepakaran dengan menyediakan kursus tertentu untuk memastikan perniagaannya dapat diuruskan dengan baik dan cekap.

Beliau kini bangga kerana mampu meraih pendapatan bulanan bersih lebih RM5,000, malah mencecah sehingga RM10,000 pada Ramadan kerana permintaan meningkat.

“Usaha selepas ini adalah meningkatkan lagi kualiti pembungkusan, selain mendapatkan pengiktirafan 1Malaysia Best.

“Saya juga merancang mendapatkan sebuah premis sebagai pusat pemasaran utama,” katanya yang mengakui sedang berusaha mengumpul modal bagi merealisasikan impiannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 11:11 AM