AKSESORI sebagai pelengkap gaya.
AKSESORI sebagai pelengkap gaya.
Siti Nadirah Hafidzin


Setiap wanita mempunyai cita rasa tersendiri dalam menentukan jenis serta bentuk aksesori yang sesuai dan dirasakan cantik pada dirinya.

Aksesori mempunyai daya tarikannya dalam mendapatkan gaya yang lebih menyerlah dan memukau. Bagi mereka yang dramatik, pasti tertarik dengan aksesori besar yang unik reka bentuknya.

Pandangan mereka yang gemarkan gaya klasik pula akan tertumpu pada aksesori yang ringkas, tidak terlalu besar atau menonjol.

Walau apa pun pilihan hati, aksesori berupaya menjadi pelengkap kepada penggayaan seseorang. Dalam membentuk gaya yang berkesan menerusi padanan aksesori seperti rantai, subang, gelang atau cincin ini, aksesori itu biarlah harmoni dan sesuai dengan bentuk muka atau badan anda. Bahkan ia perlu harmoni dengan busana yang dipakai.

Apabila dalam keadaan harmoni maka kita akan tampil lebih cantik dan menarik. Harmoni di sini bermaksud kepada bentuk aksesori yang seharusnya berpadanan dengan bentuk muka, kening, hidung, pipi dan mulut kita.

Adakah semuanya perlu diambil kira? Ya! Inilah yang dilakukan perunding imej apabila mereka hendak memadankan satu-satu aksesori untuk pelanggannya.

Namun, secara umumnya, anda boleh belajar cara memadankan aksesori yang sesuai untuk diri sendiri. Kaedah paling mudah ialah dengan melihat bentuk muka anda.

Jika muka anda cenderung kepada bentuk melengkung, aksesori yang sepadan dengan anda adalah yang ada bentuk melengkung juga seperti bulat, bujur dan beralun.

Bagi wanita yang mempunyai bentuk wajah bersegi, disarankan memilih aksesori yang mempunyai segi.

Kesesuaian ini nyata memberi penggayaan imej menarik untuk pilihan aksesori subang atau rantai anda.

Begitu juga dengan jari jemari, untuk memilih bentuk cincin yang sepadan dengan jari, anda perlu melihat bentuk jari anda.

Adakah bentuk jari anda panjang dan runcing yang bersesuaian dengan kuku yang lebih bujur potongannya atau sebaliknya.

Jari yang lebih pendek dan lebar lebih berpadanan dengan cincin bersegi manakala bentuk jari panjang dan runcing lebih bersesuaian dengan cincin bentuk bulat atau bujur.

Bagaimanapun, padanan yang diberikan di atas hanyalah sebagai panduan. Tidak bermakna anda tidak boleh memilih aksesori yang kontras dengan anda.

Ia juga tidak bertujuan mengatakan imej anda salah jika memilih padanan yang kontras. Carilah imej anda dan sesuaikan dengan aksesori pastinya gaya yang terhasil juga adalah terbaik!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 12:00 AM