GAYA rambut memberikan impak terhadap personaliti seseorang wanita.
GAYA rambut memberikan impak terhadap personaliti seseorang wanita.
GAYA rambut memberikan impak terhadap personaliti seseorang wanita.
GAYA rambut memberikan impak terhadap personaliti seseorang wanita.
GAYA rambut memberikan impak terhadap personaliti seseorang wanita.
GAYA rambut memberikan impak terhadap personaliti seseorang wanita.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Pelbagai cara dilakukan sesetengah wanita untuk tampil cantik, sempurna dan meningkatkan keyakinan diri.

Bagaimanapun, memiliki paras wajah yang cantik saja tidak mencukupi jika penampilan rambut tidak dititikberatkan dari segi penjagaan dan potongan bersesuaian dengan bentuk muka.

Penampilan wanita juga boleh terjejas jika mereka tersalah langkah memilih gaya rambut kerana tidak semua potongan dan rambut sesuai dengan semua orang.

Berikut tip karakter dan bentuk wajah wanita dengan gaya potongan rambut bersesuaian:

1. Wajah bujur (oval)

Potongan rambut jambul di paras kening dengan banyak alunan amat sesuai bagi mereka yang berwajah bujur. Potongan gaya jambul juga berfungsi untuk menampakkan tulang pipi. Bentuk wajah bujur biasanya seimbang dan berbentuk sehingga sesuai untuk semua jenis potongan rambut dibandingkan bentuk wajah lain.

Jangan mengikat rambut terlalu berlebihan (tinggi) kerana ia akan membuatkan wajah kelihatan semakin panjang. Mereka yang memiliki wajah bujur boleh memilih rambut panjang, pendek, ikal atau lurus mengikut keinginan mereka kerana bentuk wajah ini sesuai untuk pelbagai gaya rambut.

Potongan gaya rambut yang menjadi trend terkini untuk wajah bujur antaranya gaya bertingkat bob, berombak dan paras bahu.

2. Wajah bulat

Mereka yang berwajah bulat dengan bahagian pipi kelihatan lebar dan garis rahang pula lebih halus menjadikan dahi mereka seolah-olah nampak sempit. Pemilik wajah bulat biasanya sesuai menggayakan potongan rambut yang panjang, lurus, dan sedikit beralun.

Wajah bulat kadang-kadang membuatkan pipi kelihatan lebih tembam dan gemuk tetapi ia dapat diatasi dengan sentuhan yang tepat untuk menghasilkan penampilan menarik.

Kuncinya ialah pada potongan rambut dengan memberikan sedikit alunan pada bahagian atas rambut atau berdekatan wajah seperti jambul bertingkat panjang atau jambul sisi akan membuat wajah tampak lebih panjang.

Berbeza dengan wajah bujur, mereka yang berwajah bulat memerlukan rambut atas yang penuh atau lebih tinggi agar wajah tampak lebih panjang.

Hindari gaya rambut yang juga bulat dan separas dagu kerana ia menampakkan wajah lebih bulat. Selain itu, hindari potongan rambut tebal di bahagian telinga dan pipi kerana membuatkan rambut tampak lebih lebar.

3. Wajah bersegi

Ciri-ciri mereka yang berwajah bersegi ialah dahi lebar dan rahang yang menonjol. Mereka yang memiiliki bentuk wajah seperti ini lebih elok membuat potongan rambut dengan gaya bertingkat agar rambut tidak nampak terlalu mengembang.

Tekstur gaya rambut yang sesuai untuk bentuk wajah bersegi disarankan dapat memberikan efek bagi melembutkan bentuk rahang yang kaku. Untuk penampilan kasual, pilih gaya rambut panjang bertingkat atau rambut pendek bertekstur.

Hindari potongan rambut terlalu pendek. Tutup bahagian rahang yang terlihat kaku dengan potongan bertingkat. Sedikit jambul juga boleh menutup bahagian dahi yang lebar.

Rambut yang tidak terlalu beralun akan membuatkan gaya rambut kelihatan semula jadi. Jika rambut sangat lurus dan panjang, lakukan alunan yang dapat memberikan kesan ikal atau gelombang pada rambut sekali gus memberi keseimbangan pada bentuk wajah ini.

Apabila rambut sangat ikal atau keriting, disarankan menipiskan rambut agar tidak terlalu penuh pada wajah. Elak rambut lurus dan rata sepanjang rahang yang membuat rahang lebih lebar.

Jika mahu membuat gaya rambut bob atau pendek, tambahkan potongan bertingkat. Elak potongan rambut bergaya geometri, kecuali jika memang sengaja ingin menonjolkan kekuatan rahang anda.

Sebaiknya elak potongan rambut yang kaku dan jangan selitkan rambut di belakang telinga.

4. Wajah bentuk hati

Mereka yang wajahnya berbentuk hati, umumnya memiliki dagu yang mengecil atau runcing dan sesuai dengan apa saja potongan rambut.

Untuk tampil maksimum atau seksi, tambahkan sedikit gelombang pada rambut. Rambut pendek akan membuatkan bentuk wajah lebih menyerlah manakala gaya rambut paras sederhana dan panjang memberi keseimbangan yang baik pada rahang yang kelihatan padu dan dagu runcing.

Elakkan gaya rambut sisi yang terlalu berat, bertingkat atau ikal pada sisi kanan dan kiri rambut, yang akan menghilangkan tulang pipi. Lebih baik pilih potongan yang ringan dan tidak terlalu bertekstur.

Ciri bentuk wajah ini ialah dahi lebar, tulang pipi tinggi dan bentuk dagu meruncing. Pilih belahan rambut dan jambul untuk mengalihkan perhatian dahi ke mata.

Elakkan potongan rambut panjang separas dagu kerana ia membuatkan wajah nampak semakin runcing ke bawah. Pilihlah pelbagai potongan rambut yang penuh di bahagian rahang dan beri efek keriting pada hujung rambut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 11:22 AM