Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Kecantikan perlu dijaga daripada hujung rambut sehingga ke hujung kaki dan aspek dalam ­berfesyen adalah elemen yang memainkan peranan penting dalam menentukan gaya yang ditampil­kan.

Fesyen rambut bukan hanya tertumpu kepada kesihatannya itu saja, malah teknik penggayaan yang sesuai dengan bentuk wajah juga mampu menambahkan seri kepada seseorang.

Perlu diketahui potongan dan fesyen rambut yang salah boleh ­membuatkan seseorang itu kelihatan janggal, sekali gus mencacatkan penampilan walaupun individu terbabit menggayakan pakaian yang cantik dan terkini.

Disini, terdapat beberapa tip yang boleh digunakan bagi menentukan potongan rambut yang sesuai dengan bentuk wajah anda.

Muka bujur

Bentuk wajah ini paling ideal untuk semua potongan sama ada panjang mahupun pendek. Namun potongan berlapis atau bertingkat adalah potongan yang sangat sesuai bagi menyeimbangkan bentuk wajah anda.

Muka bulat

Dapatkan potongan rambut yang lembut atau bertingkat bagi memberi kesan panjang dan ramping pada wajah. Mereka yang memiliki bentuk wajah ini perlu bijak memilih poto­ngan rambut yang dapat menutup sisi muka ­terutama di bahagian pipi supaya ­tidak kelihatan lebih bulat.

Muka bersegi

Mereka yang tergolong dalam bentuk wajah ini mempunyai dahi lebar, ­tulang pipi dan rahang yang seimbang. Jika muka bulat perlu menutup sisi muka mereka, wajah bersegi pula perlu memilih potongan rambut yang beralun bagi menutup bahagian dagu. Elakkan daripada ­menyelitkan rambut anda di telinga kerana ia akan menonjolkan lagi bentuk wajah anda yang bersegi.

Muka berbentuk hati

Wajah berbentuk hati ini dapat diperhatikan daripada dahi yang lebar, tulang pipi tinggi dan dagu yang runcing. Potongan rambut paras bahu kurang sesuai bagi mereka kerana akan lebih menonjolkan keruncingan wajah. Sebaiknya, pilih potongan rambut yang membuatkan rahang kelihatan penuh seperti gaya rambut kerinting di bahagian hujung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:00 AM