USTAZ Khairil Ezry Khazali ketika ditemuramah. Gambar kecil adalah komen yang dimuat naik Khairil di FB menarik perhatian ramai. FOTO Mior Azlan Mior Kamarulbaid
USTAZ Khairil Ezry Khazali ketika ditemuramah. Gambar kecil adalah komen yang dimuat naik Khairil di FB menarik perhatian ramai. FOTO Mior Azlan Mior Kamarulbaid
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: “Saya rasa di Facebook (FB) lebih mudah untuk menarik lebih ramai orang belajar. Sebab ramai juga yang saya dapat tahu mencari kelas mengaji di luar tetapi tidak jumpa."

Itulah kata-kata Ustaz Khairil Ezry Khazali yang mengajar mengaji al-Quran dari rumah ke rumah sejak dua tahun lalu ketika ditemuramah wartawan Harian Metro.

Khairil berkata, niatnya ikhlas ingin membantu sesama Islam dan bukannya untuk tujuan berniaga.

“Saya berharap pendekatan ini akan memudahkan mereka mencari guru untuk mempelajari kalam Allah ini,” katanya yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata.

Dia juga tidak menetapkan sebarang bayaran kepada pelajarnya, tetapi menerima berapa sahaja amaun yang dihulurkan dengan seikhlas hati.

Tenang dengan cara hidup sedemikian demi mencurahkan ilmu, dia bagaimanapun memasang impian untuk mengajar di lokasi yang lebih spesifik agar dapat berbakti kepada masyarakat.

"Sekarang ini saya mengajar mengaji sepenuh masa bergantung kepada permintaan di rumah pelajar di sekitar ibu kota dan Selangor.

"Alangkah baiknya jika saya mampu mengajar di tempat-tempat tertentu seperti masjid dan surau sekiranya mendapat keizinan pihak tertentu," katanya ketika ditemui petang tadi.

Lokasi yang lebih luas dan spesifik itu akan membolehkannya mengajar dalam suasana yang lebih teratur serta lebih ramai yang dapat turut serta.

Ustaz Khairil Ezry yang sebelum ini menuntut di Institut Pendidikan Al Balaghul Mubin, Pasir Mas, Kelantan berkata, sehingga kini dia mempunyai 150 pelajar yang rata-ratanya tinggal di sekitar sini.

Bagaimanapun ada juga permintaan untuk mengajar yang terpaksa ditolak atas beberapa faktor seperti lokasi dan jadual yang padat.

"Ada yang merayu meminta untuk belajar mengaji dengan saya, tetapi saya tidak dapat penuhi kerana mereka yang hubungi itu dari Kelantan, Terengganu dan Johor.

"Walaupun bergantung kepada permintaan pelajar untuk perkara seperti tempat dan masa, tetapi saya tidak boleh memungkiri janji sekiranya sudah mempunyai jadual mengajar pada hari berkenaan," katanya.

Antara cabaran yang terpaksa dihadapinya untuk mengajar individu seawal usia lima tahun dan ke atas ialah sekiranya individu berkenaan tidak dapat menahan godaan duniawi.

"Cabaran mengajar untuk kanak-kanak berbeza kerana mereka lebih mudah dibentuk, manakala yang dewasa perlu dibimbing secara lebih terperinci.

"Kebanyakannya hanya bertahan belajar mengaji selama sebulan atau dua bulan sahaja. Mereka ini sebenarnya perlu kuat iman dan menahan ujian-ujian yang diterima," katanya yang menimba ilmu Al Quran dan Hadis sehingga ke Madinah selama tujuh tahun pada 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 6:43 PM