Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Keputusan seri sudah memadai buat Selangor untuk mara ke peringkat kalah mati Piala AFC namun bukan itu yang bermain dalam fikiran jurulatih Zainal Abidin Hassan (gambar) menjelang pertemuan terakhir Kumpulan E bertemu Tampines Rovers, malam ini.

Menurutnya, bukan satu tugas mudah jika mereka hanya meletakkan sasaran sekadar seri dengan kelab Singapura itu untuk memastikan slot ke peringkat kalah mati.

“Sasaran kami sudah pasti untuk menang kerana ini perlawanan yang amat penting walaupun Tampines mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri (Stadium Nasional, Singapura),” katanya pada sidang media semalam.

Zainal berkata, Selangor harus memberikan aksi terbaik jika bercita-cita untuk melepasi peringkat kumpulan mengiringi wakil dari Filipina, Ceres La Salle.

“Sudah pasti kami mahu memberikan aksi terbaik selepas kecewa pada pusingan pertama di Shah Alam apabila kalah 0-1 kepada Tampines walaupun kami menguasai perlawanan dan dihidangkan beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

“Dalam bola sepak siapa yang berjaya mengambil peluang pasukan itu mampu mencatat kemenangan, jadi selepas tumpas di pusingan pertama kami sudah bekerja keras untuk mempertingkat aksi menjelang pertemuan terakhir ini,” katanya.

Ditanya adakah Selangor mempunyai kelebihan kerana beraksi di permukaan rumput tulen, Zainal masih menganggap Tampines pasukan pilihan namun Selangor mendapat sedikit kelebihan beraksi di stadium itu.

Satu lagi perlawanan Kumpulan E menyaksikan Ceres bertemu Sheikh Jamal Dhanmondi dari Bangladesh yang sudah tidak berpeluang ke peringkat kalah mati.

Jika seri dan muncul naib juara Kumpulan E, Selangor dijangka bertemu juara Kumpulan G, Mohun Bagan dari India.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 8:01 AM