Afandi pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif FAM kali kelapan bagi penggal 2014-2018 di Wisma FAM. FOTO NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN.
Afandi pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif FAM kali kelapan bagi penggal 2014-2018 di Wisma FAM. FOTO NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN.
Oleh Firdaus Hashim


Kelana Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi menerima permohonan rayuan 84 bekas pemain pernah digantung kerana rasuah untuk kembali dalam aktiviti bola sepak berkuatkuasa serta merta.

Pengumuman itu dilakukan sendiri oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Exco FAM kali kelapan di Wisma FAM, di sini, sebentar tadi.

"Selepas meneliti rayuan yang dikemukakan bekas pemain berkenaan maka Jawatankuasa Integriti FAM mencadangkan agar mereka ini dilepaskan daripada penggantungan itu.

"Exco sebulat suara menerima dan mereka boleh kembali aktif dalam bola sepak anjuran FAM serta merta," katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, Afandi menjelaskan daripada jumlah itu, hanya enam pemain lagi masih dalam penggantungan dan status keenam-enam itu perlu dirujuk kepada FIFA terlebih dulu.

"Enam pemain ini tidak dapat dilepaskan kerana mereka digantung seumur hidup. Ianya berbeza dengan kes 84 pemain lain yang hanya digantung sementara.

"Jadi status enam pemain itu perlu dirujuk kepada FIFA bagi sebelum keputusan dapat dibuat," katanya.

Ketika ditanya siapakah enam pemain itu, Afandi hanya menyebut salah satu nama iaitu Matlan Marjan dengan selebihnya meminta pihak media menunggu hingga satu kenyataan rasmi dikeluarkan badan induk itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 6:03 PM