FARHAN dan suami memotong pulut kuning sebagai acara penutup.
FARHAN dan suami memotong pulut kuning sebagai acara penutup.
Syanty Octavia Amry

.

Lega perhubungan yang dijalin lapan tahun lalu berakhir dengan perkahwinan, penyanyi dan bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat, Farhan Azizan, 30, kini menanti detik untuk berbulan madu di Kepulauan Maldives Disember ini.

Farhan ketika ditemui berkata, dia dan suami, Ahmad Rashadan Suhaimi, 30, sepakat memilih pulau peranginan itu kerana tempatnya yang tenang dan mendamaikan.

"Alhamdulillah, lega apabila majlis yang dirancang sudah selesai. Hampir dua bulan membuat persiapan, walaupun rasa waktu itu singkat, berkat pertolongan daripada semua ahli keluarga dan sanak-saudara, segala-galanya berjalan lancar.

"Namun begitu, saya dan suami tidak dapat pergi berbulan madu dalam waktu terdekat berikutan awal November saya akan ke London mengadakan persembahan.

"Insya-Allah, majlis bertandang di sebelah suami di Kuantan, Pahang akan berlangsung pada hujung November ini. Justeru, peluang dapat berbulan madu hanya pada Disember dan saya tidak sabar untuk melihat keindahan pulau Maldives," katanya ketika ditemui selepas majlis persandingannya yang berlangsung di Dewan Sri Endon, Putrajaya malam Jumaat lalu.

Farhan berkata, selepas berkahwin dia akan menyanyi seperti biasa, malah suami tetap menyokong kerjaya nyanyian yang dicintainya itu.

Mengulas mengapa dia mengambil masa begitu lama untuk menamatkan zaman bujang, Farhan berkata, biar apa yang dirancang berjalan mengikut alirannya.

"Rutin kerja saya akan tetap berjalan seperti biasa, namun saya petlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangga.

"Saya akui agak lama mengambil masa untuk menamatkan perhubungan ini hingga ke jenjang pelamin, namun semua itu berlaku disebabkan masing-masing sibuk mengejar cita-cita.

"Kebetulan suami pula ketika itu melanjutkan pelajaran di luar negara hampir tiga tahun. Justeru, banyak perkara yang perlu diselesaikan dulu sebelum masing-masing membuat keputusan untuk berkahwin," katanya.

Katanya, persefahaman antara mereka juga menjadi faktor utama hubungan cinta selama lapan tahun itu bertahan sehingga ke gerbang perkahwinan.

Malah, sikap suaminya yang sangat tenang dalam menangani masalah selain sikap ambil berat membuatkan dia selesa bersama lelaki itu.

"Tempoh bertunang kami yang dilihat agak lama juga sebenarnya tiada had yang ditetapkan semuanya berlangsung selepas masing-masing berasa ini masa yang sesuai," katanya yang kelihatan menawan dalam busana coklat emas rekaan Calvin Thoo.

Sementara itu, Ahamd Rashadan yang bertugas sebagai pengarah pengurusan perniagaan di sebuah syarikat swasta berkata, sebagai suami dia sentiasa menyokong kerjaya isterinya dan tidak menghalang Farhan untuk terus menyanyi.

"Saya yakin Farhan tahu batasannya sebagai isteri dan mampu menjaga diri dengan baik. Saya juga berdoa semoga kami diberikan rezeki cahaya mata dengan segera supaya dapat menyerikan lagi rumah tangga.

"Lagipun kami bukan muda lagi dan sudah tentu mahukan cahaya mata, namun menyerahkan soal itu kepada rezeki," katanya.

Terdahulu, Farhan dan suami selamat dinikahkan Pendaftar Perkahwinan Pejabat Agama Islam Hulu Langat Zainal Abidin Yusof berwalikan bapa Farhan iaitu Azizan Mohd Khir di Masjid Alhasanah, Bangi pada Jumaat pagi.

Dalam majlis itu, Farhan menerima mas kahwin berupa wang RM300 dan sebentuk cincin.

Tampil dengan busana putih rekaan Calvin, Farhan menerima tujuh dulang hantaran antaranya set penjagaan wajah, wangian, telekung, senaskah al-Quran dan jam tangan.

Manakala pengantin lelaki menerima sembilan dulang sirih junjung, kelengkapan solat, seutas jam tangan, bunga rampai, manisan, buah-buahan, sejadah dan coklat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:00 AM