KONSEP PAKAR disediakan untuk peniaga.
KONSEP PAKAR disediakan untuk peniaga.
ORANG ramai mengunjungi PAKAR.
ORANG ramai mengunjungi PAKAR.
MENTERI Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (dua dari kanan) dan Badruddin (tiga dari kanan) melawat PAKAR.
MENTERI Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (dua dari kanan) dan Badruddin (tiga dari kanan) melawat PAKAR.
Mohamad Hussin

Konsep utama operasi Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR) iaitu Bayar Guna Serah Semula’ (BGSS) memerlukan penjaja membayar penggunaan tapak lot niaga yang disediakan kepada mereka.

Ia mengikut kluster, waktu niaga, kadar bayaran dan hari ditetapkan atau dijadualkan dan menyerahkan semula tapak diduduki dalam keadaan asal sebaik tamat tempoh niaga (tanpa meninggalkan sebarang peralatan).

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang mengendalikan program itu akan melakukan operasi pembersihan sebelum digunakan kluster penjaja lain.

Setiap peserta wajib menggunakan set peralatan dan pakaian seragam yang dibeli daripada FAMA.

PAKAR juga boleh disewa masyarakat setempat bagi mengadakan aktiviti kemasyarakatan mengikut kesesuaian.

Pengerusi FAMA Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, konsep itu selaras dengan matlamat menjamin kebersihan dan keselesaan PAKAR sebagai hak milik bersama komuniti setempat.

Beliau berkata, projek PAKAR antara Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang merangkumi 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

“Ia termasuk enam Inisiatif Pembangunan Strategik (SRI) antara usaha bersepadu komprehensif kerajaan mentransformasikan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Melalui Program Projek Permulaan (EPP) di bawah NKEA, sasaran kerajaan untuk meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) perkapita daripada RM23,700 (2009) kepada RM48,000 (2020).

“Program ini dapat mewujudkan 9,360 peluang pekerjaan, sekali gus membantu mereka menjana pendapatan,” katanya.

Menurutnya, pada awal perancangan, PAKAR adalah EPP 2 di bawah NKEA 7 Pemborongan dan Peruncitan yang dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Bagaimanapun, pada 28 Mac 2012, projek PAKAR dipindahkan ke NKEA 11, Pertanian sebagai EPP 17 di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan FAMA kekal sebagai agensi pelaksana.

“PAKAR adalah EPP bertujuan memodenkan pelaksanaan pasar di bawah satu konsep melalui beberapa elemen,” katanya.

Badruddin berkata, antaranya pemodenan kaedah niaga di bawah satu bumbung di lokasi yang kekal mengikut kluster dan waktu niaga yang ditetapkan.

“Penawaran pengalaman membeli-belah dalam konsep moden dan bersih dengan jaminan keselesaan kepada peniaga, penjaja dan pengguna dalam aspek penyediaan premis serta kemudahan asas yang lebih teratur, kemas dan bersih.

“Penyediaan platform sebagai tapak untuk kegiatan atau aktiviti komuniti, usaha menggalakkan penjaja berniaga dengan konsep peragaan dan pakaian seragam supaya lebih tersusun dan menarik.

“Memelihara kesinambungan warisan pasar penjaja dengan menyerapkan konsep transformasi moden ke arah negara maju menjelang 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 11:41 AM